Rabu, 25 March 2015 | 5:00am

Dangkal ilmu punca prejudis hukum syariah

Sebelum soal undang-undang syariah menjadi hangat kembali dengan perbahasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, saya sudah beberapa kali mengulas mengenainya dalam ruangan ini.

Antara isu yang pernah dibangkitkan ialah kedudukan dan pemakaian undang-undang syariah dalam konteks perundangan negara dan persoalan pelaksanaan yang merangkumi kemudahan infrastuktur untuk pelaksanaannya serta sumber manusia berkaitan pelaksanaan.

Apabila rang undang-undang syariah berkaitan jenayah dibentangkan di DUN Kelantan, semua perkara yang saya utarakan dalam penulisan berkenaan menjadi isu yang menarik perhatian.

Walau apapun yang diperkatakan mengenai undang-undang jenayah syariah, ia adalah satu set undang-undang yang sudah sekian lama mendapat tempat dalam sistem perundangan negara. Falsafah perundangan negara juga tidak menolak falsafah jenayah syariah terutama mengenai peranan agama dalam undang-undang. Dari segi falsafah atau jurisprudence undang-undang jenayah, perbahasan mengenai kedudukan agama tidak akan berhenti selagi manusia mempunyai kepercayaan kepada agama.

Dalam konteks agama Islam, undang-undang syariah dalam bentuk apa sekalipun, sama ada undang-undang jenayah atau persendirian dan kekeluargaan, sangat berkait rapat dengan konsep serta kepercayaan agama. Setiap orang yang percaya dan beriman kepada Islam tidak akan sesekali menolak undang-undang syariah.

Beza pendapat soal pelaksanaan

Namun, daripada pemerhatian saya, mereka berbeza pendapat hanya dalam soal pelaksanaannya. Oleh itu, amat tidak adil untuk orang Islam menuduh sesama sendiri mengenai 'iman' mana-mana pihak apabila membahaskan undang-undang syariah. Tutuplah tirai pertikaian dan perbahasan yang beremosikan politik dalam hal berkaitan undang-undang syariah, baik berkenaan jenayah atau kekeluargaan.

Berkenaan falsafah atau tujuan undang-undang, mungkin ada baiknya untuk khalayak, masyarakat Islam dan bukan Islam cuba mempelajari dan memahami kedua-dua falsafah sistem perundangan Malaysia kerana kedua-dua sistem perundangan itu adalah sistem yang diterima dalam kerangka perundangan negara. Walaupun sebenarnya undang-undang Islam hanya terpakai ke atas orang Islam, secara tidak langsung, ia juga menuntut kefahaman bukan Islam atas dasar tanggungjawab moral mereka menghormati undang-undang yang sah serta disokong sistem undang-undang negara.

Bagi orang Islam, undang-undang syariah perlu dipelajari dan difahami dengan baik. Mereka hendaklah menuntut ilmu berkaitannya kerana kedangkalan ilmu dalam hal syariah menyebabkan kekeliruan yang semakin dekat kepada kecelaruan fahaman akan seterusnya menyebabkan silap faham kepada undang-undang berkenaan. Silap faham ini selanjutnya memberikan gambaran tidak baik kepada undang-undang berkenaan dan seterusnya mendatangkan fitnah kepada Islam secara keseluruhannya.

Dari sudut pelaksanaan pula, undang-undang syariah hendaklah menepati bukan sahaja hukum syarak dan persoalan fiqh yang boleh disesuaikan dengan hakikat serta realiti perundangan negara dan situasi masyarakat. Walaupun sesetengah kesalahan dan hukuman jelas tertera dalam sumber hukum Islam, dari segi pelaksanaannya ia perlu disesuaikan dengan sifat syariah yang sejagat, sepanjang zaman dan realistik atau dalam istilahnya waqi'iyyah.

Hormati sistem diamal negara

Pelaksanaannya juga perlu menepati sistem perundangan negara. Jika tidak, undang-undang syariah dilihat sebagai menceroboh atau tidak menghormati sistem perundangan negara. Sebagai agama dan cara hidup yang teratur sifatnya, maka pelaksanaan hukum hakamnya juga hendaklah dilihat sebagai teratur dan menghormati sistem negara.

Sebagai contoh, dari sudut perundangan negara, terutama Perlembagaan Persekutuan, pembahagian kuasa antara Persekutuan dan negeri amat jelas. Undang-undang syariah hanya terpakai ke atas orang Islam dan perlu tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan akta yang diluluskan Parlimen bagi tujuan pelaksanaannya. Ini adalah soal pembahagian kuasa dalam sistem perundangan negara yang perlu ditaati untuk menunjukkan undang-undang syariah tidak sesekali menentang sistem perundangan negara.

Kecantikan Islam sebagai al-din atau agama dan syariah sebagai cara untuk mencapai tujuan al-din itu hendaklah juga memenuhi sifat agama Islam itu sendiri. Ini amat penting untuk dirasai dan hayati semua pihak, terutama umat Islam. Sekiranya tidak, sudah pasti, fitnah ke atas agama Islam akan berlaku.

- Penulis ialah Felo Utama Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Berita Harian X