Rabu, 25 March 2015 | 7:16am
PENYANYI Mark Adam. - Foto Rohanis Shukri.
PENYANYI Mark Adam. - Foto Rohanis Shukri.

Belum ada rezeki timang anak - Mark Adam

KUALA LUMPUR : Penyanyi Mark Adam, 36, ternyata tidak tertekan apabila belum dikurniakan rezeki menimang cahaya mata walaupun sudah 12 tahun berumahtangga.

Mark menjelaskan bahawa dia dan isterinya, Nor Azah Redzuan, 36, menyerahkan sepenuhnya kepada rezeki namun tidak pernah berputus asa berdoa agar mereka dikurniakan zuriat.

"Kami menyukai kanak-kanak dan berharap dapat menimang cahaya mata satu hari nanti. Semuanya adalah bergantung kepada rezeki dan pasti akan tiba masanya nanti Insya-Allah," kata Mark kepada BH Online ketika ditemui di showcase pelancaran albumnya di Laundry The Curve, Mutiara Damansara, di sini.

Kelibat isterinya sering kali dilihat menemani Mark ke mana-mana namun Mark berkongsi bahawa isterinya itu enggan dikaitkan dalam bidang seni.

"Saya menghormati permintaan isteri saya untuk tidak terlalu didedahkan di laman sosial atau di majlis. Malah beliau turut meminta agar saya tidak memperkenalkan dirinya sebagai isteri saya.

"Isteri saya juga memegang peranan sebagai pembantu peribadi bagi memastikan kelancaran kerjaya saya. Beliau adalah tulang belakang kerjaya seni saya dan membantu saya sampai di tahap ini," kata Mark sambil tersenyum.

Selain itu, Mark begitu teruja dengan pelancaran album solonya yang diberi judul Mark Adam itu kerana menyifatkan ia begitu peribadi buat dirinya.

Album itu memuatkan 12 buah lagu yang antaranya seperti Pencuri, Si Katak, Jika, Marry Me, Mind Your Own Business, Thief, Pimples, If serta dua buah lagu bonus iaitu Sampai Nanti dan All I Need Is You.

"Saya bersyukur kerana akhirnya album solo saya berjaya dilancarkan dan buat julung kalinya saya diberikan kesempatan untuk membuat showcase khas buat peminat saya.

"Album sulung ini memuatkan lagu-lagu santai yang dipopularkan oleh saya yang mana saya dikenali dengan genre sebegitu. Saya turut menyelitkan dua buah lagu balada khas buat peminat," kata Mark mengakhiri perbualan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X