Rabu, 25 March 2015 | 11:26am
Datuk Siti Nurhaliza

Siti Nurhaliza masuk 'istana' lagi 7 April ini

KUALA LUMPUR: Bulan depan mempunyai signifikan yang tersendiri kepada Datuk Siti Nurhaliza kerana setiap kali bulan ini menjelma, beliau akan meraikan ulang tahun pembabitannya dalam bidang seni.

April 2015 dianggap bulan permulaan kerjaya seninya untuk tahun ke-20.

Sebagaimana janji beliau kepada peminatnya sebelum ini, Siti Nurhaliza bakal mengadakan sebuah konsert akustik istimewa yang dinamakan Datuk Siti Nurhaliza Unplugged 2015 pada 7 April di Panggung Sari, Istana Budaya, bermula jam 8.30 malam.

Konsert yang berlangsung cuma sehari ini diadakan bersesuaian dengan slot yang diberikan oleh Istana Budaya dan beliau mengambil peluang berkenaan sebagai pembukaan kepada persembahan berskala konsert pada tahun 2015.

Beliau bagaimanapun akan tampil dengan pementasan Konsert Muzikal Fragmen Siti, selama lapan hari di Istana Budaya pada bulan November depan.

Siti memahami bahawa tempoh sehari mungkin tidak cukup untuk jumlah peminatnya tetapi beliau berharap agar mereka memahami tujuan diadakan persembahan tersebut termasuk slot sehari yang ditawarkan oleh Istana Budaya.

"Peluang ini harus saya ambil kerana April jelas mempunyai signifikan kerana ia bulan sambutan ulang tahun saya di arena seni. Lagipun di kalangan peminat sudah lama yang bertanyakan penganjuran konsert akustik ini," katanya yang kini sedang bercuti di Istanbul bersama suami sekali gus menjalani rakaman program Romantika di Astro.

Persembahan ini bertujuan untuk melengkapkan perjalanan seni beliau selama 20 tahun kerana sepanjang tempoh tersebut, beliau belum pernah muncul dalam persembahan konsert akustik secara keseluruhan.

Persembahan ini akan lebih menonjolkan keampuhan vokal Siti dan juga garapan muzik oleh Aubrey Suwito terhadap lagu yang bakal dipersembahkan nanti. Persembahan ini bakal berlangsung selama dua jam,

Ia anjuran Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd dengan kerjasama Istana Budaya. Siti memilih untuk menyampaikan lagu dari album pop beliau yang telah dipilih serta beberapa lagu lain untuk memberikan warna kepada persembahan.

Pada setiap album pop beliau akan ada lagu yang dipilih mewakili album berkenaan untuk dinyanyikan walaupun memberikan fokus kepada album terbaru beliau, Fragmen.

Tiket untuk menonton persembahan ini boleh didapati secara online di www.AirAsiaRedtix.com dengan harga RM78, RM108, RM218, RM28, RM258, RM278, RM338 dan RM518. Harga ini tidak termasuk caj tiket dan GST.

Selain itu tiket boleh dibeli di Rock Corner The Gardens, KLCC, Subang Parade dan The Curve.

Tiket juga dijual di Victoria Music di Sg.Wang, Amcorp Mall, Tropicana Mall dan Bangsar Shopping Centre serta di Box Office Istana Budaya. Bagi pembelian di Pulau Pinang pula, tiket boleh didapati di di Artist Gallery, Gurney Plaza dan Artist Gallery, Queensbay Mall.

Berita Harian X