Rabu, 25 March 2015 | 7:24pm

Mun Yee tekad baiki teknik terjunan individu


Leong Mun Yee

KUALA LUMPUR: Bintang terjun negara Leong Mun Yee mahu terus konsisten dalam terjunan dan menyumbang pingat dalam Kejohanan Terjun Siri Dunia FINA di Kazan, yang dijadual berlangsung pada 24 hingga 26 April ini.

Selepas menghadiahkan satu perak dan satu gangsa pada dua aksi terdahulu bersama gandingannya Cheong Jun Hong, Mun Yee, 30, tekad untuk memantapkan kawalan terjunan individu.

"Saya mahu memperbaiki terjunan yang kadang kalanya tidak begitu menjadi supaya boleh menambah mata di kejohanan (di Kazan)," katanya selepas menghadiri majlis pelancaran Logo dan Kira Detik Hari Sukan Negara 2015 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam.

Pada tahun ini Hari Sukan Negara diadakan 10 Oktober ini.

Dalam pada itu, atlet yang berasal dari Ipoh, Perak itu berkata dia belum terfikir untuk bersara dan akan terus kekal fokus sehinggalah Sukan Olimpik akan datang.

Selain menyertai kejohanan itu di Kazan, Mun Yee juga akan beraksi bersama pasangannya, Jun Hoong di siri kejohanan di London pada 1 hingga 3 Mei ini.

Mun Yee mengumpul 315.18 mata untuk meraih gangsa dalam acara 10m platform seirama dalam siri kejohanan dunia di Dubai dan meraih perak pada pusingan pertama dalam acara sama di Beijing. -BERNAMA

Berita Harian X