Khamis, 26 March 2015 | 8:04pm

Juruteknik bakal diiktiraf sebagai profesional


PELAJAR mengambil peluang mencuba pelbagai jenis rekaan dan permainan di Program Ipropex (Inovation, Project Presentation And Exhibition) 2015 yang diadakan di Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau. - Foto Eizairi Shamsudin

ARAU: Juruteknik yang memberi perkhidmatan dalam bidang teknologi dan teknikal bakal diiktiraf sebagai golongan profesional apabila Rang Undang-Undang Teknologi dan Juruteknik 2014 diluluskan di Parlimen tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Azhar Yahaya berkata golongan juruteknik akan diiktiraf sebagai teknologis profesional dan juruteknik bertauliah mengikut kelayakan masing-masing.

Katanya, rang undang-undang itu kini di peringkat perbahasan di Dewan Negara.

Beliau berkata selepas kelulusan rang undang-undang itu, juruteknik perlu mendapatkan pendaftaran dan pentauliahan daripada Lembaga Teknologi Malaysia yang bakal ditubuhkan di bawah undang-undang itu.

"Juruteknik kemudian boleh mendapatkan pengiktirafan sebagai ahli profesional sama seperti jurutera yang menggunakan gelaran Ir," katanya selepas menutup Pameran 'IProPEx 2015' di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) di sini hari ini.

Mohd Azhar mewakili Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohd Diah pada pameran inovasi dan pembentangan projek itu.

Beliau berkata pengiktirafan golongan juruteknik adalah kerana mereka adalah nadi penggerak dalam sektor industri.

Jumlah juruteknik di negara ini dijangka mencecah 1.6 hingga 1.7 juta orang atau kira-kira 50 peratus daripada jumlah 3.3 juta pekerja berkemahiran tinggi yang disasarkan menjelang 2020.

Sementara itu, Abu Bakar menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Mohd Azhar, berkata Malaysia perlu bersiapsiaga supaya lebih berdaya saing dan kompetitif bagi menjana ekonomi berpendapatan tinggi.

"Status hari ini menunjukkan Malaysia mempunyai 25.5 peratus saja pekerja berkemahiran tinggi daripada 12.7 juta pekerja. Jumlah pekerja berkemahiran tinggi perlu ditingkatkan kepada 50 peratus daripada jumlah tenaga pekerja menjelang 2020," katanya.

Abu Bakar berkata Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia menekankan penghasilan graduan-graduan berkemahiran tinggi dan dalam hubungan ini politeknik diberi peranan penting dalam pencapaian rancangan itu.

IProPex 2015 selama dua hari itu disertai 379 pelajar dengan pembentangan 110 projek. - BERNAMA

28 dibaca
Berita Harian X