Jumaat, 27 March 2015 | 7:22pm

MAA ragu harga kenderaan turun selepas GST

PETALING JAYA: Kejatuhan ketara nilai ringgit berbanding dolar AS adalah isu yang lebih besar dan membimbangkan peserta industri automotif negara berbanding Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan bulan depan.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, berkata ini kerana kebanyakan syarikat pengedar kereta menggunakan nilai tukaran bersandarkan dolar Amerika Syarikat (AS) untuk membayar pakej pemasangan kenderaan, termasuk pembelian komponen dan alat gantian.

"Sungguhpun kami (peserta automotif) di MAA masih lagi keliru sama ada GST benar-benar dapat merendahkan harga kenderaan, tetapi isu yang lebih besar lagi ialah berkaitan tukaran mata wang yang menyaksikan nilai ringgit yang semakin lemah dan jatuh lebih 10 peratus.

"Sekiranya ringgit terus lemah, tidak kira sama ada kereta itu dipasang secara tempatan (CKD) atau diimport sepenuhnya (CBU), kereta nasional atau bukan nasional, harga tidak akan turun," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MAA di Petaling Jaya hari ini.

Sejak beberapa bulan lalu, ringgit beberapa kali muncul dengan prestasi terburuk dalam kalangan mata wang Asia lain berbanding dolar AS.

Pada 20 Januari lalu, ringgit mencatat paras terendah enam tahun untuk ditutup pada 3.60 berbanding dolar yang adalah paras terendah sejak April 2009.

Ringgit hari ini ditutup lebih rendah berbanding dolar AS pada 3.6830/6870 berbanding dolar AS daripada 3.6595/6625 pada Khamis.

MAA yang mengunjurkan jualan keseluruhan industri (TIV) sebanyak 680,000 unit pada 2015, masih ragu-ragu sama ada pelaksanaan GST akan benar-benar dapat merendahkan harga jualan kenderaan.

Aishah berkata, antara isu ialah stok semasa yang dipegang pengedar dan penjual.

Beliau berkata, peraturan pihak kastam membayangkan bahawa syarikat automotif tidak dapat membuat tuntutan semula sepenuhnya ke atas keseluruhan cukai jualan dan perkhidmatan 10 peratus yang sudah pun dikenakan ke atas inventori sebelum ini.

Hanya pelepasan dua peratus dibenarkan, menjadikan baki cukai lapan peratus perlu ditanggung syarikat automotif atau diserapkan kepada pengguna, katanya sambil menambah dicampur cukai GST enam peratus menjadikan jumlah cukai keseluruhan yang perlu ditanggung syarikat automotif ialah sebanyak 14 peratus.

Selain itu, katanya isu membabitkan tuntutan waranti juga masih kabur.

Syarikat-syarikat kereta dijangka mengumumkan senarai harga kenderaan pada minggu pertama bulan April berikutan pelaksanaan GST.

Berita Harian X