Jumaat, 27 March 2015 | 10:06pm

Ballard optimis sasaran 23 pingat olahraga Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert J Ballard optimis dengan meletakkan sasaran 23 pingat untuk skuad olahraga pada temasya Sukan SEA 2015 di Singapura, Jun ini.

Walaupun hanya 17 atlet layak secara merit ke temasya dwitahunan itu namun Ballard percaya prestasi skuad negara akan meningkat secara ketara untuk memenuhi sasaran tersebut.

"Kami kini ada tiga atlet dengan ranking pertama dalam acara masing-masing di rantau Asia Tenggara iaitu Mohd Hakimi Ismail dalam acara lompat kijang, Nauraj Singh Randhawa (lompat tinggi) dan atlet lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin.

"Mereka mempunyai potensi menyumbang pingat," katanya pada hari pertama Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini hari ini.

Menurutnya, Malaysia mempunyai prospek cerah untuk meraih pingat dalam kedua-dua acara lontar tukul besi lelaki dan wanita dan acara lompat bergalah lelaki.

Ramalan ini belum dikemukakan kepada KOM mahupun Majlis Olimpik Malaysia (MOM), katanya.

Dalam pada itu, pelari pecut dari Sarawak, Nixson Kennedy menjadi atlet ke-17 untuk layak secara merit ke Sukan SEA apabila merakamkan masa 10.50s pada separuh akhir acara 100 meter.

Selain Nixson, Mohd Izzuddin Yahya turut mengatasi had kelayakan Sukan SEA iaitu 10.50s yang ditetapkan oleh MOM, apabila mencatat 10.48s pada peringkat separuh akhir.

Bagaimanapun, atlet lompat kijang, Mohd Hakimi gagal melepasi jarak kelayakan apabila hanya mampu merekodkan 15.86m untuk menang pingat emas.

Mohd Hakimi, yang memegang rekod kebangsaan 16.44m yang dicipta pada Sukan SEA 2013 di Myanmar, gagal melepasi jarak 16.04m yang ditetapkan untuk layak secara merit ke Sukan SEA.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian pingat, Mokd Hakimi, yang merangkul perak pada Sukan SEA 2013, berkata keputusan penyertaan di Singapura akan dibiarkan kepada KOM.

Berkongsi nasib sama, pemegang pingat perak Sukan SEA 2013, Adi Alifuddin Hussin turut gagal melepasi kelayakan acara lontar peluru apabila hanya mencatat jarak 15.87m berbanding 16.33m yang ditetapkan. - BERNAMA

Berita Harian X