Ahad, 29 March 2015 | 12:02am
Profesor Dr Muhammad Bukhari Lubis. - Foto Aziah Azmee
Kassim Ahmad

Melangkaui polemik kesusasteraan Islam


Profesor Dr Muhammad Bukhari Lubis pada Siri Syarahan Pengajian Arab dan Tamadun Islam 'Kesusasteraan Islami Bandingan: Keterlibatan Seorang Sarjana' di Bilik Mesyuarat Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. - Foto Aziah Azmee

POLEMIK sastera Islam yang paling 'panas' dalam konteks tanah air adalah membabitkan Sasterawan Negara (SN), Profesor Emeritus Shahnon Ahmad dengan Kassim Ahmad meskipun ada lagi tokoh lain yang turut ikut sama bertingkah.

Bagaimanapun, perdebatan itu menjadi dingin kemudiannya sehingga tidak hairanlah ada pengarang yang menyifatkan polemiknya bersifat fesyen atau bermusim.

Fenomena itu agak menghairankan kerana tidak seperti bidang lain khususnya politik dan ekonomi, ranah sastera tanah air seolah-olah tidak subur dengan perbincangan yang menyelongkar serta menggali makna Islam dalam penghasilan karya kreatif.

Apatah lagi, karya sastera tanah air mutakhir ini terus dijadikan wadah untuk menyusupkan fahaman dan pemikiran sama ada meneruskan aliran salah yang sedia ada seperti Syiah atau membawa pandangan alam Barat khususnya liberalisme, pascamodenisme serta pluralisme.

Gejala penyebaran aliran pemikiran dalam karya sastera itu memerlukan jawapan keilmuan dan keintelektualan oleh sarjana, ahli akademik dan pengarang Muslim yang sudah tentu tidak hanya setakat membincangkan label karya atau teori mana yang Islam.

Perbincangan sastera Islam perlu mengambil kira pandangan alam Islam dan konsep yang berkaitan seperti estetika atau keindahan, bentuk serta maknanya yang dapat dijadikan landasan bukan saja dalam konteks kritikan dan kajian, bahkan panduan kepada pengarang itu sendiri.

Suasana kelam-kabut yang ditimbulkan oleh pemikiran salah itu, memperlihatkan keperluan untuk sarjana, ahli akademik dan pengarang Muslim memberikan tumpuan terhadap kesusasteraan dan persuratan Islam yang melangkaui sekadar polemik terhadap definisi atau teori kritikan.

Perlu diakui, belum ada wacana yang dapat dijadikan landasan dalam menghurai makna kesusasteraan dan persuratan Islam sama ada secara teori mahupun praktikal dianjurkan pada masa kini.

Tidak dinafikan perbincangan secara kecil muncul sesekali dalam ranah sastera tanah air yang luas dan landasannya yang panjang itu seperti Multaqa Thaqafi: Siri Syarahan Pengajian Arab dan Tamadun Islam di Fakulti Pengajian Islam (FPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.

Bagaimanapun, program yang menampilkan pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr Muhammad Bukhari Lubis itu, mungkin agak peribadi kerana lebih menyorot kepada peristiwa yang berlaku sekitar perjalanan ilmiahnya.

Apapun program anjuran Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam FPI UKM boleh menjadi landasan awal kepada wacana yang lebih besar kerana sastera tanah air khususnya sastera Melayu tidak terpisah daripada tamadun Islam yang agung.


Profesor Dr Muhammad Bukhari Lubis. - Foto Aziah Azmee

Sementara itu, Muhammad Bukhari ketika membentangkan syarahan Kesusasteraan Islami Bandingan: Keterlibatan Seorang Sarjana, mengingatkan tujuan kesusasteraan Islam bukan untuk berlipur-lara atau menghiburkan hati semata-mata, apatah lagi melanggar garis syarak dalam Islam.

"Tidak hairanlah ada yang meragui makna su dalam kesusasteraan yang berasaskan keindahan semata-mata, sebaliknya kelompok berkenaan meyakini istilah dalam bahasa Arab, iaitu adab; adabiyot (Parsi) atau edebiyat (Turki).

"Tanpa memikirkan lanjut istilah yang sepatutnya digunakan, kita perlu memberikan tumpuan terhadap fahaman dan gagasannya yang sebenar sehingga ia berlangsung serta berfungsi mengikut norma Islam," katanya pada wacana yang dipengerusikan Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Dr Zulkarnain Mohamed.

Di sebalik tanggapan gagasan kesusasteraan Islam lebih kepada kegiatan bermusim, Muhammad Bukhari berkata, khalayak tidak perlu kecewa, sebaliknya perlu lebih bergiat lagi dengan tujuan menyeru kepada perkara makruf dan mencegah kemungkaran serta meraih keredaan Allah.

"Islam tidak menentang kegiatan kesenian, sebaliknya memperakukan ia sebagai fitrah manusia. Langkah pertama yang perlu diawasi adalah dengan melihat apakah ia sebagai matlamat atau wahana untuk membawa orang Islam ke arah yang sebenar.

"Disebabkan kesedaran dalaman inilah, mereka tidak jemu-jemu melontarkan idea untuk mencari rumusan membentuk acuan dan kerangka kesusasteraan Islam yang sepatutnya," katanya pada wacana yang turut dihadiri Ketua Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Dr Azmul Fahimi Kamaruzaman.


Tan Sri Profesor Dr Muhammad Kamal Hassan

Antara gagasan yang dikemukakan, Muhammad Bukhari berkata, ialah teori sastera Islam oleh Shahnon; Persuratan Melayu Baru (Mohd Affandi Hassan) dan teori Takmilah (Dr Shafie Abu Bakar).

"Gagasan lain seperti Faham Sastera Islami oleh Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas; Kritikan Melayu (SN, Dr Syed Othman Syed Omar); Pengkaedahan Melayu (Dr Hashim Awang); Gagasan Sastera Melayu Islami (Muhammad 'Uthman el-Muhammady) dan Gagasan Sastera Islami (Tan Sri Profesor Dr Muhammad Kamal Hassan).

"Malah ada yang terlalu bersemangat, lantas memperkenalkan teori yang tidak wajar diletakkan dalam konteks kesusasteraan Islami, iaitu teori Ta'abbudiyah oleh Mana Sikana kerana makna 'taabud' yang sangat luas," katanya pada acara yang mendapat kerjasama Kumpulan Penyelidikan Kebudayaan Arab dan Peradaban Islam (KUKAPI) dan Kumpulan Penyelidikan Kajian Rantau Asia Barat (AKRAB).

Kesediaan kelompok 'di luar khalayak sastera tanah air' untuk membuka perbincangan kesusasteraan itu wajar disambut oleh pengarang dan institusi yang berkaitan untuk membawa persoalan ini pada wacana yang lebih ilmiah, sekali gus berupaya menjawab isu yang berkaitan dengan pemikiran yang lebih besar.

44 dibaca
Berita Harian X