Rabu, 1 April 2015 | 12:04am
LUKISAN yang dihasilkan untuk lelongan. - Foto NSTP
PELUKIS generasi ketiga, Profesor Jailani Abu Hassan. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PAKAR lukisan Henry Butcher Art Auctioneers Sdn. Bhd. Sarah Abu Bakar. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
LELONGAN lukisan mampu melonjak hingga RM700,000. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PAKAR Lukisan Henry Butcher Art Auctioneers Sdn. Bhd., Sarah Abu Bakar menunjukkan buku lelongan lukisan. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Pelukis ada masa depan


APABILA rumah lelongan Henry Butcher buat pertama kalinya mengadakan lelongan karya seni pada tahun 2010, catan The Dream tahun 1969 oleh Datuk Ibrahim Hussien mencipta detik penting yang cukup bersejarah untuk kanvas seni halus tanah air.

Dibida pada harga RM500,500, The Dream membuka mata khalayak betapa besarnya potensi seni di negara ini. Sejak itu, harga catan oleh 'gergasi' seni halus selain Ibrahim misalnya Datuk Syed Ahmad Jamal dan A Latiff Mohidin mampu melonjak hingga RM700,000.

Malah, pelukis generasi ketiga seperti Prof Madya Dr Jalaini Abu Hassan dan Ahmad Zakii Anwar juga mampu mencecah RM100,000.


PROFESOR Jailani Abu Hassan. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Bagi Jalaini yang juga Pensyarah Fakulti Seni Rekaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) atau lebih mesra dikenal dalam dunia seni halus sebagai Jai, seni sebagai pelaburan sudah lama diperkatakan tetapi di negara ini, ia baru bermula.

"Kita sedikit terlewat kalau mahu dibandingkan dengan negara jiran tetapi dengan wujudnya rumah lelongan di negara ini, ia membuka peluang pelaburan untuk orang ramai dan membantu perkembangan seni halus." katanya.

Tambah Jalaini, apabila seni halus sudah menjadi peluang pelaburan, karya yang dicari bukanlah sebarangan, sebaliknya dihasilkan oleh artis yang dikenali dan memiliki faktor yang mampu melonjakkan nilai karya.

"Kita mempunyai ramai pengumpul karya seni. Meskipun ada sekumpulan pengumpul tegar yang akan membeli dan menyimpan karya atas nilai sentimental, ada khalayak yang akan menjualnya ke pasaran kedua seperti rumah lelongan.


ANTARA lukisan dilelong. - Foto NSTP

"Kita rujuk mereka ini sebagai 'pelabur' atau mungkin 'spekulator' yang membeli karya seni bukan disebabkan minat semata-mata, sebaliknya dijadikan sebagai pelaburan," katanya kepada Sastera BH di UiTM, Shah Alam, baru-baru ini.

Jalaini berkata, usaha Singapura untuk menjadi hub seni di Asia dan bersaing dengan Hong Kong juga menjadi tempias kepada perkembangan seni halus Malaysia, apatah lagi dalam senario seni halus di Barat yang tepu idea, ramai peminat seni halus mula memandang ke Asia untuk mencari kelainan.

"Masyarakat mudah mengaitkan bidang seni halus dengan status dan lambang orang berbudaya serta berilmu. Bukan sekadar orang perseorangan, syarikat besar juga membeli karya seni sebagai pelaburan dan status sosial.

"Justeru, mereka tidak akan membuat pelaburan kepada karya yang tidak dikenali oleh khalayak atau pelukis yang yang tidak ada nama," katanya.

Menarik untuk diketahui, meskipun dulu ramai pelukis yang dikategorikan sebagai 'self-taught', hal itu berubah pada masa kini apabila hampir kesemua pelukis berkelulusan universiti.


ANTARA lukisan yang dihasilkan. - Foto NSTP

Mengulas isu itu, Jalaini berkata zaman untuk merujuk pelukis sebagai "mewarisi bakat" sudah berlalu, sebaliknya bakat dan pendidikan khusus dalam bidang seni memantapkan lagi karya pelukis.

"Pendedahan pelukis akan terlihat pada karya yang menjadikan artis hari ini bukan saja memerlukan ilmu, bahkan mengalami proses pembelajaran sepanjang hayat. Jika anda malas meneroka ilmu baru, karya anda akan terhenti setakat itu saja.

"Apabila orang membeli karya, pembeli akan melihat resume artis termasuk pendidikan dan pengalamannya kerana pendedahan ini yang akan membentuk karyanya," tegasnya.

Sementara itu, Kurator Kanan, Henry Butcher Art Auctioneer, Sarah Abu Bakar ketika diminta mengulas mengenai dunia seni halus Malaysia mutakhir, beliau spontan menyimpulkan; seni itu bukan hanya untuk dinikmati, sebaliknya kaedah pelaburan terbaik.

Kata Sarah, zaman seni halus yang sukar difahami sudah berlalu, sebaliknya lebih ramai orang terutama golongan muda terbabit dengan urus niaga lelongan karya seni.


ZAMAN seni halus yang sukar difahami sudah berlalu, sebaliknya golongan muda terbabit dengan urus niaga lelongan karya seni. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Perkembangan itu sangat baik apatah lagi disokong dengan penubuhan lebih banyak sekolah seni awam dan swasta di negara ini.

"Kini, ada trend yang bagus dan elok diraikan apabila orang muda juga di Malaysia mula berminat untuk membeli karya seni.

"Satu daripada sebabnya, mungkin kami juga membuat bidaan dalam talian yang bukan saja terbuka kepada semua, bahkan kita dapat lihat kemunculan pembeli muda dari Malaysia," katanya.

Malah, tegas Sarah, pada setiap kali majlis lelongan seni diadakan, mereka menerima pembeli daripada pelbagai latar masyarakat dan individu termasuk yang mewakili korporat atau institusi. Malah di majlis itu juga sebahagian besar pengumpul koleksi seni Malaysia yang berprestij berhimpun.

"Ada banyak faktor mengapa sesebuah karya mampu menarik bidaan yang mencecah ratusan ribu ringgit, antaranya karya itu daripada siri lama yang memang dicari ramai pengumpul misalnya koleksi dari dekad 1980-an.

"Faktor lain yang meningkatkan nilai dan melonjakkan harga karya ialah nama artis yang dilihat sebagai jenama, keadaan karya yang masih baik dan reputasi pelukis misalnya memiliki ramai peminat," katanya.

Selain faktor pelukis pernah terbabit dengan majlis lelongan di luar negara seperti Cheng Fee Ming yang mula dikenali dan karyanya dicari apabila terbabit dalam lelongan di Singapura yang mencecah harga RM200,000.

Begitupun, tegas Sarah, keadaan itu tidak bermaksud karya pelukis muda tidak mendapat perhatian kerana lukisan mereka boleh mendapat harga tinggi dalam lelongan jika mematuhi kriteria berkenaan.


PROSES lelongan lukisan ketika dijalankan. - Foto NSTP

"Setakat ini karya pelukis muda yang dibeli pada harga tinggi ialah Ivan Lam yang mungkin berpunca daripada satu lukisannya pernah dilelong dalam majlis lelongan oleh Christie Hong Kong," katanya.

Selain Ivan, pelukis muda yang turut mencuri tumpuan pengumpul koleksi seni termasuklah Shamsudin Lappo, Ilham Fadli, Latif Maulan dan Ali Norazmal Yusuff, manakala arca yang dicari juga ialah karya Raja Shahriman Raja Azidin.

"Kita perlu tahu pengumpul sebenarnya banyak kategori kerana ada yang mempunyai hubungan emosi dengan sesuatu karya itu sehingga sanggup membida harga tertinggi.

"Ada pengumpul yang bukan dalam erti sebenar, sebaliknya mereka lebih kepada pelabur, iaitu yang membeli dan kemudian menjualkannya," katanya.

INFO

10 karya pelukis Malaysia termahal

1. Red, Orange and Core (1984) karya Ibrahim Hussien - RM797,500

2. Samarkhand 3 (1994) karya Abdul Latiff Mohidin - RM605,000

3. Monsoon Has Gone, (1990) karya Cheng Fee Ming - RM209,000

4. Morning Mist 5, (1992) karya Hossien Enas - RM198,000

5. Gunung Ledang Series (Cherryvale) (1985) karya Syed Ahmad Jamal - RM187,000

6. Durian Sellers, (1990) karya Chuah Thean Teng - RM137,500

7. Gibbons Looking for Fish, (tanpa tahun) karya Chen Wen Hsi - RM126,500

8. Boats Though The Nuts (1936) karya Yong Mun Sen - RM123,200

9. The Drowning 2 (Lost Series) karya Ahmad Fuad Othman - RM112,000

10. Essence of Culture Series (1993) karya Awang Damit - RM100,800

578 dibaca
Berita Harian X