Rabu, 1 April 2015 | 6:37pm
BEKAS pemain kebangsaan Kanada, Issey Morgan Makajima Farran.

Terengganu lamar bekas pemain Kanada, Makajima Farran

KUALA TERENGGANU: Terengganu memilih bekas pemain kebangsaan Kanada, Issey Morgan Makajima Farran, untuk mengisi slot pemain import dalam usaha memantapkan jentera serangan pasukan itu pada baki saingan Liga Super, musim ini.

Pemain berusia 31 tahun itu yang pernah beraksi dalam Liga Perdana Inggeris bersama kelab Crystal Palace, menandatangani kontrak di hadapan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Marzuki Sulong, pada majlis ringkas di pejabat PBSNT di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha PBSNT, Arpin Draman dan ketua jurulatih Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim.

Marzuki, yang juga pengurus pasukan, berkata pengambilan Farran itu bagi menggantikan pemain import dari Lubnan, Hassan Chaito yang ditamatkan kontrak kerana mengalami kecederaan.

Menurutnya kontrak Farran adalah sehingga tamat musim Liga Malaysia, November ini.

Beliau berharap pemain itu dapat diturunkan ketika Terengganu bertemu Perak pada suku akhir Piala FA, di sini, 7 April ini.

Dalam pada itu, Rahman berkata corak permainan Farran memang sangat dicari-cari dan sangat sesuai digandingkan dengan penyerang import dari Brazil, Paulo Rangel.

-- BERNAMA

15 dibaca
Berita Harian X