Jumaat, 3 April 2015 | 12:00am
ANTARA masalah kulit bertompok.

Rawatan karbon laser


Soalan:

Saya berusia 34 tahun dan menghadapi masalah kulit berjeragat, ton tidak sekata dan tampak kusam.

Saya pernah melakukan laser tetapi ia menyebabkan kulit merah dan terasa sakit yang agak lama ketika proses rawatan. Apakah kaedah lain sesuai untuk rawatan itu.

Kirana Emylia Azhar

Kampung Pandan, Kuala Lumpur

Pelbagai kaedah teknologi terkini berkaitan rawatan kecantikan wajah diperkenalkan sejak akhir-akhir ini yang boleh dijadikan pilihan kepada orang ramai untuk mengekalkan keremajaan kulit.

Kini banyak rawatan menghilangkan pigmentasi, kedutan, wajah ton tidak sekata dan menghaluskan kulit boleh dilakukan untuk mendapatkan kesan serta-merta berbanding menggunakan krim kecantikan.

Terkini, kaedah karbon laser, antara rawatan kecantikan wajah yang kian popular. Rawatan ini berasal dari Korea dan menjadi pilihan selebriti di seluruh dunia.

Ia adalah satu-satunya rawatan yang tidak mempunyai kesan sampingan seperti wajah kelihatan merah dan hitam.

Malah, rawatan ini selamat untuk semua jenis kulit bagi menaikkan seri wajah, selain memberi kesan serta-merta.

Individu boleh mengenakan solekan sejurus selepas rawatan dan hasilnya lebih baik kerana kulit menjadi lebih bersih, segar, halus dan cerah.

Kulit juga tidak menjadi nipis jika dilakukan mengikut nasihat doktor. Untuk mendapatkan kesan yang terbaik, individu dicadangkan melakukan rawatan ini sebulan sekali bagi menggalakkan pertumbuhan kulit baharu.


BINTIK-bintik merah di belakang badan

Tidak merah dan bengkak

Rawatan ini bukanlah seperti rawatan laser yang boleh menyebabkan kulit menjadi terbakar, merah dan bengkak. Individu boleh terus keluar berjalan atau menyambung kerja selepas selesai rawatan ini.

Rawatan ini sesuai untuk mengatasi masalah mengecilkan liang pori terbuka, kulit berminyak, ton tidak sekata, kulit berkedut, kulit kusam dan jeragat.

Malah kulit yang tidak mempunyai apa-apa masalah tetapi ingin kelihatan lebih berseri juga boleh melakukan rawatan ini kerana ia membantu merangsang kolagen di bawah kulit.

Langkah prosedur

Kulit haruslah dibersihkan terlebih dahulu. Kemudian disapu dengan karbon dan diratakan ke seluruh permukaan muka untuk menjadikan wajah kelihatan hitam.

Fungsi karbon ini adalah untuk menyerap haba yang dihasilkan melalui laser. Sepanjang prosedur rawatan ini, pesakit tidak akan merasa sakit.

Haba yang diserap akan merangsang kolagen bawah kulit yang mulai kendur dan menghasilkan kolagen baharu yang lebih tegang dan menjadikan kulit awet muda.

Rawatan ini ada beberapa fasa.

Fasa pertama: Apabila laser dipancarkan pada wajah untuk menghasilkan satu letupan kecil (electric spark) bagi proses pengelupasan.

Segala kotoran kulit mati akan mengelupas melalui proses ini dan pesakit tidak akan rasa sebarang kesakitan semasa prosedur dilakukan.

Fasa kedua: Apabila karbon hilang daripada kulit, sekali lagi pancaran laser dipancarkan bagi memastikan ia dapat menembusi lapisan kulit lebih dalam yang akan merawat parut jerawat dan jeragat kelihatan lebih pudar.

Fasa ketiga: Proses toning, di mana ia berfungsi untuk meremajakan kulit. Laser akan dipancarkan buat kali terakhir dan menembusi lapisan paling dalam iaitu lapisan ketiga dimana ia akan merangsang kolagen dan elastin.

Selepas selesai melakukan karbon laser pada keseluruhan wajah, krim penyejuk akan disapukan bagi merehatkan kulit.

Rawatan ini juga boleh digabungkan dengan rawatan stem sel untuk kesan yang lebih optimum.

Fakta :

Memerlukan hanya 30 minit masa rawatan.

Doktor akan memeriksa kulit sebelum melakukan rawatan.

Tiada kesan sampingan seperti merah dan bengkak.

Boleh dilakukan pada bahagian lain seperti leher dan tangan.

Berita Harian X