Jumaat, 3 April 2015 | 5:27am

Agama: Tajdid pendidikan lahir golongan berilmu tangkis krisis masyarakat


Pengajian peringkat tinggi perlu menekankan kecemerlangan ilmu dan aspek pembangunan moral serta etika. - Gambar hiasan

Pihak berkuasa negara kini berdepan cabaran getir dalam menangani gerakan militan dan ekstremis IS (Negara Islam), kesan daripada pergolakan politik di Asia Barat. Isu gerakan militan Islam bukan membabitkan hal yang bersifat doktrin semata, juga ancaman fizikal yang boleh menggugat keharmonian serta keamanan negara.

Agenda menentang hegemoni barat dengan mengangkat tema jihad telah menarik minat warga tempatan turut sama mengangkat senjata menyokong perjuangan gerakan ekstremis ini. Amat menyedihkan apabila sebahagian mereka adalah golongan remaja dan pelajar yang sepatutnya menjadi aset masa depan negara.

Gerakan menyusup secara halus

Sejumlah tangkapan telah dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), pelbagai program penjelasan juga dilakukan oleh hampir semua agensi terbabit secara langsung atau tidak langsung. Bagaimanapun, ia dilihat belum memadai untuk menyaingi perkembangan pesat gerakan itu yang menyusup secara halus dan berstrategi.

Antaranya melalui media sosial seterusnya mempengaruhi mereka yang masih terkeliru dengan isu ini. Dalam cabaran latar masyarakat majmuk di negara ini, dilihat sering kali kewibawaan pihak berkuasa diuji dalam menyaingi kemunculan isu baharu yang sentiasa timbul.

Meskipun situasi dilihat terkawal, segenap kudrat dan kos terpaksa dikeluarkan bagi menanggung bermacam-macam operasi, seminar, wacana, bengkel dan pelbagai program berkaitan ke arah menangani dan membanteras isu itu.

Meneliti wacana ilmiah yang membincangkan topik IS atau apa juga isu sosial semasa yang lain, sering kali faktor 'kejahilan' dan kekeliruan dikenal pasti sebagai punca utama berlakunya krisis itu. Namakan apa sahaja masalah yang timbul, pasti pokoknya ialah kegagalan mendepani permasalahan secara ilmiah.

Ironinya tujuan pendidikan yang menekankan aspek adab dan akhlak tidak dihuraikan dengan baik dan berkesan. Kenapa langkah untuk membanteras ataupun menangani isu itu tidak difokuskan ke arah memerangi kejahilan itu sendiri.

Saban tahun kita digembar-gemburkan dengan keputusan cemerlang pelajar di pelbagai peringkat sama ada sekolah atau pusat pengajian tinggi, tetapi pada masa yang sama kekeliruan dan pelbagai perbuatan menunjukkan kekurangan ilmu atau adab tetap juga meningkat.

Dalam menanggapi masalah pendidikan, peranan universiti sebagai destinasi terakhir sebelum graduan terjun ke dalam masyarakat dilihat memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan sistem pendidikan sesebuah negara.

Sejauh mana institusi pengajian tinggi yang sepatutnya melahirkan insan berilmu dan berakhlak mampu menjalankan tanggungjawab hakikinya atau sekadar berfungsi sebagai sebuah fasa mengasah kemahiran teknikal untuk menempatkan 'produk' ke dalam industri kelak.

Kebimbangan ini jugalah yang dizahirkan Sheikh Hamza Yusuf sewaktu membicarakan The Crisis Of Knowledge di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam tahun lalu, apabila menyatakan universiti kini mengeluarkan segulung kertas (ijazah) untuk menjustifikasikan kejahilan.

Hakikatnya ilmuwan Islam telah lama terkehadapan dalam melihat permasalahan ini. Badiuzzaman Said Nursi tatkala menghasilkan tafsir masyhurnya, Rasail Al-Nur, telah menzahirkan idea tajdid pendidikannya dengan idea penubuhan universiti serta institusi pendidikan yang mengharmonikan falsafah sains dan Islam.

Idea sekularisme yang melatari zaman beliau itu, seakan hampir sama dengan permasalahan yang dihadapi sistem pendidikan kita ketika ini. Beliau menekankan keperluan tajdid pendidikan yang bersifat komprehensif dan kontemporari demi mengembalikan semula makna penubuhan universiti.

Beliau menganjurkan supaya ilmu agama dan ilmu sains ini diajar secara bersama bagi tujuan melahirkan kefahaman menyeluruh terhadap ilmu itu.

Tokoh ilmuan tempatan, Tan Sri Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas banyak sekali dalam karyanya menekankan kedudukan universiti yang dilihat berperanan paling penting dalam menangani krisis masyarakat dengan mengambil iktibar hikmah ilahiah (hikmah ketuhanan) yang menjadikan pendidikan orang dewasa sebagai sasaran utama misi semua Nabi.

Tujuan penubuhan universiti

Dalam surat kepada Sekretariat Islam pada tahun 1973 yang antara lain mencadangkan penubuhan sebuah universiti Islam, beliau menyatakan, 'Tujuan pendidikan tinggi dalam Islam adalah membentuk 'manusia sempurna' atau 'manusia universal' ...Seorang ulama Muslim bukanlah seorang pakar dalam salah satu bidang keilmuan, melainkan seorang yang universal dalam cara pandangannya dan memiliki autoriti dalam beberapa bidang keilmuan yang saling berkaitan.'

Matlamat melahirkan manusia yang sempurna itu sangat selari dengan konsep 'insan kamil' seperti yang ditonjolkan Nabi Muhammad SAW. Justeru, pengajian peringkat tinggi bukan sahaja memfokuskan kepada kecemerlangan ilmu semata-mata, malah menekankan aspek pembangunan moral dan etika sebagai sebuah manifestasi akhlak, kemahiran berfikir dan kepemimpinan.

Pendidikan pada peringkat ini juga harus mengambil kira cabaran kemajmukan negara dengan mengangkat identiti jati diri kebangsaan, sifat tanggungjawab dan juga patriotisme adil sebagai idealisme. Sikap kesetiaan kepada negara ialah nilai tertinggi yang harus diterapkan dalam diri setiap warganegara.

Semangat kebangsaan, patriotisme adil

Melalui semangat kebangsaan dan patriotisme adil inilah dapat menjamin setiap tindakan serta keputusan yang ingin dibuat bermatlamat kebaikan menyeluruh semua rakyat tanpa menjejaskan hak bangsa atau negara lain.

Dalam mempertimbangkan kebaikan semua pihak menikmati keadilan hak yang bersesuaian dengan kedudukannya, pengalaman sejarah dan tradisi yang membentuk identiti negara harus diberi perhatian dan difahami dengan betul.

Kementerian dan pihak berkaitan harus berusaha memastikan mahasiswa di pelbagai lapisan institusi, menerima pengisian ilmu berdasarkan disiplin ilmu yang betul dengan memberikan pendedahan sumber yang benar, muktabar, serta pembacaan dan syarahan yang mampu melahirkan graduan bijaksana.

Sudah tentu matlamat besar ini memerlukan pengorbanan yang besar. Prof Naquib Al Attas dalam kata-kata terakhirnya pada Konferensi SeDunia Pendidikan Islam Pertama, memohon bantuan dan dukungan pemerintah Muslim yang memiliki pandangan jauh ke depan untuk mewujudkan projek ini walaupun akan memakan waktu lama.

Penulis ialah Penolong Pengarah, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

34 dibaca
Berita Harian X