Jumaat, 3 April 2015 | 9:52pm

Jurulatih Kedah sedih kualiti padang Stadium Merdeka


PEMAIN Kedah, Baddrol Bakhtiar (dua dari kiri) diasak pemain Kuala Lumpur, Ekoule Martin (dua dari kanan) pada perlawanan di Stadium Merdeka hari ini. - Foto Hasrisyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Meskipun Stadium Merdeka 'direhatkan' penggunaannya selama dua bulan oleh pasukan Kuala Lumpur selepas aksi sulung Liga Perdana bertemu Sabah, 6 Februari lalu, keadaan padangnya masih terus mendapat kritikan.

Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe menjadi individu terbaharu meluahkan rasa tidak puas hati dengan kualiti padang di Stadium Merdeka biarpun skuad bimbingannya berjaya menewaskan Kuala Lumpur 1-0 pada perlawanan keenam Liga Perdana di stadium bersejarah itu, petang tadi.

"Agak sedih juga kalau nak sebut mengenai kualiti padang. Sebagai jurulatih, kita mahu meningkatkan corak permainan pasukan tetapi saya tidak dapat menerapkan bola sepak moden dengan keadaan padang begini. Kalau nak main bola hantaran jauh, bolehlah.

"Melihat kepada keadaan padang, saya rasa Kuala Lumpur perlu mencari venue lain yang lebih sesuai," kata Cheong Hoe ketika ditemui selepas perlawanan.


PEMAIN Kedah, Chidi Edeh (dua dari kanan) diasak pemain Kuala Lumpur, Muhd Naufal Naim (kanan) pada perlawanan di Stadium Merdeka hari ini. - Foto Hasrisyah Sabudin

Gol tunggal Chidi Edeh pada minit ke-22 membolehkan Kedah menamatkan kemarau kemenangan sejak mereka hanya mencatat satu kemenangan iaitu pada aksi sulung ketika membelasah KL SPA 5-1 di Stadium Darul Aman, selebihnya tiga seri dan sekali tewas. "Kemenangan ini memberi motivasi kepada pasukan tetapi kita harus ingat saingan liga masih panjang dan kita perlu mengekalkan momentum kemenangan ini," tegas bekas penolong jurulatih skuad kebangsaan itu.

Sementara itu, pengendali sementara Kuala Lumpur, Tang Siew Seng yang menggantikan jurulatih dari Portugal, Ricardo Formosinho yang direhatkan berkata, dia memerlukan masa untuk memulihkan pasukan itu yang setakat ini hanya menang sekali dan tewas lima kali.

"Kalau ikutkan memang banyak kerja yang perlu dibuat lagi. Tiada cara lain, kami perlu usaha lebih kuat dan harap pemain tidak cepat mengalah," kata Siew Seng.

Berita Harian X