Sabtu, 4 April 2015 | 12:12am

Minuman ramuan segar


MINUMAN berasaskan buah-buahan seperti jus dan moktel bukan saja sedap tetapi ia memberikan banyak manfaat untuk kesihatan dan juga kecantikan.

Bagi minuman jus buah-buahan misalnya, minum secara teratur dikatakan, dapat menyembuhkan berbagai penyakit yang ringan.

Justeru, tidak hairan pakar diet sering kali mengesyorkan pengambilan jus buah-buahan dan ia lebih baik tanpa gula sebagai salah satu cara untuk meningkatkan kecergasan diri. Minuman seumpama ini dapat mengurangkan toksin dalam badan dan juga menurunkan berat badan.

Untuk yang sentiasa memberikan perhatian pada kecantikan, pengambilan jus buah-buahan boleh membantu memberikan keseimbangan kecantikan kulit wajah.

Apa yang pasti, jus buah-buahan nyata lebih mengandungi banyak khasiat tersembunyi berbanding jika anda mengambil minuman yang tidak berasaskan buah-buahan.

Pilih ikut selera

Begitu juga moktel iaitu tiruan kepada minuman koktel (minuman yang mengandungi campuran alkohol), bukan saja merangsang selera tetapi ada kebaikan tersendiri.

Moktel berbeza dengan koktel kerana ia sebenarnya adalah minuman campuran tanpa campuran alkohol.

Dua atau lebih bahan campuran boleh digunakan untuk membuat moktel dan terpulang campuran apa yang dipilih. Buah-buahan yang dicampur dengan kordial untuk menjadi moktel dapat menambahkan lagi khasiat dalam minuman itu kerana mengandungi tinggi serat, vitamin seperti vitamin C dan antioksida.

Moktel boleh diambil secara panas atau bersama ais yang lebih menyegarkan, terpulang mana satu menepati selera.

Mengambil kebaikan dan khasiat minuman berasaskan buah-buahan, AROMA KULINARI menampilkan dua resipi minuman iaitu jus buah dan moktel.


EKSEKUTIF Makanan dan Minuman, Kharidah Khaf dari Hotel Blue Wave Shah Alam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Sedap dinikmati

Pertama, Peachy Berry yang disediakan oleh Eksekutif Makanan dan Minuman, Kharidah Khaf dari Hotel Blue Wave Shah Alam manakala kedua, Mocktail Tulip iaitu antara resipi istimewa di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.

Kedua-dua minuman ini menarik dicuba kerana memberikan rasa tersendiri. Jus Peachy Berry adalah campuran buah pic dan strawberi. Amalan minum jus pic ini baik untuk kesihatan, apatah lagi minuman ini mengandungi antioksida yang baik untuk kesihatan.

Sementara itu, Mocktel Tuilp menggunakan gabungan buah nanas dan pisang. Nanas umumnya, diketahui bermanfaat untuk pencernaan dan mengandungi enzim bromelain yang membantu mencerna protein. Buah ini juga mengandungi gula semula jadi yang meningkatkan tenaga.

Pisang pula adalah diet terbaik kerana ia mengandungi asam folat yang sangat mudah untuk penyerapan tubuh. Tekstur buah yang lembut memudahkan proses pencernaan dan sumber tenaga terbaik tubuh.

Apa yang pasti, kedua-dua minuman ini memberikan rasa kemanisan, kesegaran dan keaslian rasa tanpa bahan pengawet, sekali gus membuat tubuh lebih segar dan bertenaga. Kedua-duanya menggunakan ramuan segar dan begitu ringkas tetapi nampak eksklusif.


ANTARA bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat jus Peachy Berry. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Peachy Berry

Bahan-bahan:

Hirisan pic segar

3 biji strawberi

1/2 cawan susu segar

5 sudu besar yogurt pic

1 ketul sirap gula

5 ketul ais batu

Cara-caranya:

1. Kisarkan semua bahan seperti yogurt pic, sirap gula, susu segar, strawberi dan pic sehingga sebati.

2. Bahan dikisar tadi dituang ke dalam gelas berisi ais batu.

3. Masukkan bahan dikisar dalam gelas jernih, hiaskan dengan hirisan strawberi.


JUS Peachy Berry. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

4. Jus siap dihidangkan. Perlu diminum segera untuk lebih kelazatan.

Fakta buah pic

1. Antara buah paling kaya serat, baik untuk pencernaan, penglihatan dan cegah kanser.

2. Diet terbaik kerana mengandungi air yang banyak.

3. Hanya tumbuh sekitar Mei hingga Oktober saja.

4. Berupaya mengurangkan risiko tekanan darah tinggi dan komponen menguatkan otot.

5. Setiap buah pic mengandungi 60 kalori saja.

6. Kulit adalah bahagian paling berkhasiat untuk dimakan.

7. Banyak ditanam di China.


Bahan-bahan untuk Mocktail Tulip. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Mocktail Tulip

Bahan-bahan:

60 mililiter (ml) jus nanas

25ml gula kelapa

60ml susu segar

20ml sirap gula

1/2 biji pisang

Cara-caranya

1. Kisarkan pisang bersama susu segar.

2. Campurkan jus nanas bersama dengan campuran pisang dan susu segar.

3. Masukkan gula kelapa dan sirap gula.

4. Masukkan ais dan goncang ke dalam 'shaker'.

5. Siap untuk diminum.

Berita Harian X