Ahad, 5 April 2015 | 12:04am

2 jam menyusuri Sungai Kuantan

JETI Shahbandar Kuantan River Cruise.
JETI Shahbandar Kuantan River Cruise.

KALAU berkunjung ke Kuantan, Pahang jangan lupa singgah ke Jeti Shahbandar dan menaiki bot Kuantan River Cruise yang menjanjikan keseronokan menyusuri muara Sungai Kuantan sambil melihat kehidupan burung helang atau kera bergayut di pokok bakau air masin serta aktiviti bot nelayan di pesisiran sungai dekat situ.

Andai bernasib baik reptilia paling ditakuti manusia seperti buaya tembaga juga boleh ditemui berjemur tetapi jangan risau kerana reptilia ini tidak pernah dilaporkan mengganggu manusia.

Kuantan River Cruise pernah beroperasi di bawah Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan hari ini diuruskan oleh Bukit Gambang Resort City (BGRC). Sejak diambil hampir dua tahun, BGRC memberi nafas baharu dengan membawa pelancong melihat bandar Kuantan dari sungai.

Bermula di Jeti Shahbandar Dua bot diberi nama Star 1 dan Kuantan 2 yang mampu memuatkan 50 pelancong bersedia membawa penumpang menyusuri perkampungan nelayan yang pernah menjadi laluan kapal dagangan satu masa dulu.

Perjalanan bersiar-siar menyusuri muara Sungai Pahang ini bermula di Jeti Shahbandar di hadapan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA). Ia akan membawa pelancong kelima lokasi, iaitu Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), kawasan pembiakan kelipkelip, Jambatan Tanjung Lumpur, kawasan pokok bakau sebelum berakhir di muara sungai Laut Cina Selatan.

Di lokasi ini, kita akan dibawa melihat aktiviti bot dan nelayan dari Kampung Peramu dan Tanjung Lumpur berulang-alik dan memunggah hasil tangkapan ikan yang menjadi sumber terpenting bekalan protein kepada penduduk seluruh Pahang.

KUANTAN River Cruise pernah beroperasi di bawah Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan hari ini diuruskan oleh Bukit Gambang Resort City (BGRC). - Foto Faiz Anuar
KUANTAN River Cruise pernah beroperasi di bawah Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan hari ini diuruskan oleh Bukit Gambang Resort City (BGRC). - Foto Faiz Anuar

Nikmati makanan laut di Tanjung Lumpur Penulis bersama jurupandu pelancong Kuantan River Cruise, Asrul Hanif Baharuddin, meninjau sepanjang laluan 9.8 kilometer hingga ke muara sungai Laut China Selatan dengan pakej Sunset Cruise sekitar jam 6 petang.

Perjalanan dua hala dari jeti Shahbandar hingga ke muara sungai Laut China Selatan dengan bot berkelajuan lapan batu nautika sejam dirasakan terlalu singkat tatkala penulis sedang asyik melilau pemandangan hutan bakau dianggarkan berusia 500 tahun di sepanjang laluan 9.8 kilometer (km) itu.

Sambil bot Catamaran menyusuri ombak kecil, Asrul memberi penerangan ringkas mengenai lokasi kami lalui dengan mengaitkan sejarah Sungai Kuantan dan jaluran penduduk yang tinggal di sepanjang sungai ini.

Keseronokan kemuncak menyusuri sungai ini ketika waktu matahari terbenam dan waktu malam. Ketika itu suasana menjadi tenang ditambah pula cahaya lampu jalan melimpah permukaan air sungai pasti memukau sesiapa yang menggunakan perkhidmatan Kuantan River Cruise ini.

Seri limpahan lampu ketika perjalanan balik ke jeti kira-kira jam 8 malam, Bandar Kuantan kelihatan `hidup' apabila lampu limpah berwarna-warni dari Jambatan Tanjung Lumpur dan Esplanade Benteng Kuantan.

Asrul menjelaskan, Esplanade Benteng Kuantan meriah pada Sabtu dan Ahad apabila pelancong tidak melepaskan peluang mengunjungi pasar malam sepanjang satu hingga 2 km.

Lebih bermakna lagi apabila anda menaiki bot persiaran ini bersama keluarga menikmati panorama waktu malam, sambil melihat kelip kelip dan selepas itu menjamu selera makanan laut di Tanjung Lumpur yang diberitakan cukup sedap pada harga berpatutan.

INFO

Kuantan River Cruise

Hari Beroperasi: Setiap hari, kecuali Rabu

Menawarkan empat pakej: Esplanade Cruise, Sunset Cruise, Night Cruise dan Firefly Cruise.

Harga Pakej: RM18 hingga RM88 tertakluk kepada pakej.

Tempoh Perjalanan: Satu hingga dua jam.

Jarak perjalanan: 9.8 km

Lokasi paling menarik persisiran Kuantan perkampungan nelayan ialah Kg Tanjung Lumpur, Kg Peramu, Jeti LKIM dan Jambatan Tanjung Lumpur serta pasar malam Esplanade Benteng Kuantan (Jumaat-Ahad).

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X