Selasa, 7 April 2015 | 11:41am
JAGUH pecut dunia, Usain Bolt

Usain Bolt teruja aksi Kejuaraan Dunia

KINGSTON (Jamaica): Jaguh pecut dunia, Usain Bolt gembira dengan keadaan dirinya menjelang Kejuaraan Dunia pada Ogos dan tidak terganggu dengan dominasi ditampilkan pelari Amerika Syarikat, Justin Gatlin, kata jurulatihnya, Glen Mills.

"Kami menilai semua pencabar pada tahap yang serius dan saya tidak melihat Gatlin sebagai bahan jenaka, namun kebenarannya adalah Usain yang berada pada tahap terbaik tidak perlu bimbang," kata Mills.

Bintang Jamaica itu sedang berusaha untuk memenangi emas ketiga dalam acara pecut 100 meter (m) dan keempat dalam acara 200m pada kejohanan yang dijadualkan pada 22 hingga 30 Ogos di Beijing.

Semasa ketiadaan Bolt, Gatlin mendominasi Liga Berlian musim lepas dan menamatkan tahun lalu sebagai pelari 100m dan 200m paling pantas dengan catatan peribadi terbaik 9.77 saat (s) dan 19.68s.

"Ia baik untuk sukan dan mencipta tarikan yang berbeza namun perkara seperti itu tidak mengganggunya dalam pada cara sekalipun kerana Usain dan diri saya sendiri tahu apa yang kami boleh harapkan daripadanya apabila dia kembali cergas sepenuhnya dan bersedia dengan usaha yang kami sedang lakukan," kata Mills yang melatih Bolt sejak 2005.

"Apabila kami bersedia dan dia berada di puncak, selepas itu barulah kita akan dengar jeritannya. Saya yakin ia pastinya Usain Bolt!"

Selain memegang rekod dunia dalam acara 100m dan 200m, Bolt turut menguasai pentas Olimpik dengan memenangi kejuaraan sama pada edisi 2008 dan 2012.

Selepas lebih banyak berehat sepanjang tahun lalu akibat kecederaan, pelari pecut berusia 28 tahun itu berkata dia sedang berusaha mencatat masa terbaiknya musim ini.

"Saya sentiasa cuba untuk menunggu sehingga perlumbaan pertama saya (untuk capai sasaran) namun bagi saya sasarannya ialah sentiasa beraksi dalam Kejuaraan Dunia dan mempertahankan kejuaraan saya," kata Bolt.

"Namun saya sentiasa mahu berlari dengan amat pantas musim ini jadi itulah saya lakukan ketika ini," kata Bolt yang akan beraksi menerusi tiket wildcard di Beijing.

Sebelum ke Kejuaraan Dunia, Bolt dijadualkan beraksi pada kejohanan di Rio de Janeiro, 19 April ini selain Liga Berlian di New York, Paris dan Lausanne. - Reuters

Berita Harian X