X
Khamis, 9 April 2015 | 12:05am

Gumpalan puitis Aziz Deraman

BUKU puisi Gelora Nurani oleh Datuk A Aziz Deraman, terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia. - Foto Yazit Razali
BUKU puisi Gelora Nurani oleh Datuk A Aziz Deraman, terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia. - Foto Yazit Razali

Sedang rekah

akar jati diri dicabut orang

akal budi alang kepalang

malang halaman pertiwi

ada pecah belah kembali

legar-berlegar maruah

di tepian sunyi sejarah.

Perasaan yang bergumpal antara nostalgia kegemilangan, keluhan realiti dan tanda tanya masa depan bangsa sering menguasai karya penyair Datuk A Aziz Deraman, tidak terkecuali dapat dibaca pada kumpulan puisinya terbaru, iaitu Gelora Nurani.

Persoalan bangsa dan budaya memang menjadi kecenderungan jalur kepenyairan A Aziz yang pastinya tumbuh pada perjalanan hidupnya baik sebagai birokrat mahupun aktivis dan penyair yang lahir dari negeri yang kuat jati diri kemelayuan.

Malah, negeri kelahirannya yang dikenali sebagai Serambi Makkah kerana tradisi keilmuan khususnya pondok itu turut memberikan kesan pada penulisannya dalam mengungkapkan puisi keagamaan.

Dalam Gelora Nurani ini, persoalan itu tidak ditinggalkan oleh pengarang, bahkan setia diungkapkan seperti yang menjelma secara jelas dalam puisi Gelora Nurani yang panjang dan Dunia Melayuku yang merakam masa lalu serta masa depan bangsa ini.

Menatang bangsa serumpun

laksana sedulang sirih tersusun

dijaga rapi siasah, maju iktisad

perkara serentak sederap hebat

jati diri budaya penakluk dunia

rantau kita tidak lagi terpedaya

utara dan selatan tahu merasa

timur barat faham batas kuasa.

Puisi A Aziz sememangnya cenderung bersifat propaganda tetapi sebenarnya ranah sastera tanah air tidak pernah sunyi daripada karya bernada itu termasuk penyair atau penulis yang selalu merangkai kalimah 'rakyat', 'demokratis' dan 'marhaen' pada diri mereka.

Cuma puisi propaganda daripada penyair 'aliran perdana' diberikan tanggapan negatif, manakala pada pihak yang satu lagi menganggap karya mereka penuh kudus dan tulus sedangkan keseluruhan diksi serta maksudnya tidak jauh berbeza.

Bagaimanapun, sifat propaganda dalam puisi tidak menghalang beliau daripada mengambil kedudukan kritis sehingga nada yang tajam dapat dirasai pada puisinya seperti Pancang-pancang.

Setiap tegak

tegak bertanya

ke mana arus gelora bahasa

ke mana hala sungai sastera

tenangkah segara budaya

pancang-pancang terpancang

milik semua kukuh dipegang?

Sebagai penyair yang melepasi separuh abad, A Aziz tidak terkecuali daripada mengungkapkan puisi bertemakan ketuhanan dan kehambaan seperti Di Langit Kaabah-Mu dan Hari di Hatiku.

Pengucapan dalam kumpulan ini memang membawa gaya dan langgam yang sudah dikenali pada puisinya, iaitu yang diungkapkan secara sederhana, langsung dan mudah difahami seperti diakui dalam Haluan Katanya.

Apa pun tanggapan khalayak terhadap puisinya, Gelora Nurani ini membawa muatan pengalaman dan pengamatan yang bukan kecil, sekali gus meninggalkan pesanan kepada pembaca daripada generasi lalu sebagai bekal masa depan.

A Aziz, anak kelahiran Pasir Puteh, Kelantan adalah mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). - Foto Yazit Razali
A Aziz, anak kelahiran Pasir Puteh, Kelantan adalah mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). - Foto Yazit Razali

INFO

Gelora Nurani

Penulis: A Aziz Deraman

Terbitan: Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM)

Halaman: 187

Harga: RM25

PENGARANG

Datuk A Aziz Deraman, anak kelahiran Pasir Puteh, Kelantan pada tahun 1948 ini, ialah mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Beliau menghasilkan banyak kumpulan dan antologi puisi termasuk yang diterjemah ke bahasa Inggeris, Russia, Korea dan Mandarin. Antara kumpulan puisinya ialah Wak Long dan Suara Dari Cikini.

Sebagai budayawan, beliau juga menyusun buku dan menghasilkan tulisan yang mengangkat persoalan kebudayaan dan tamadun Melayu.

Berpengalaman luas dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) khususnya persatuan penulis seperti Ahli Jawatankuasa Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) bermula tahun 2004 hingga 2014, Penasihat Persatuan Penulis dan Seniman Pasir Puteh (PUSPA) sejak ditubuhkan pada tahun 1970 hingga kini dan Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) yang baru ditubuhkan pada tahun 2011.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X