Jumaat, 10 April 2015 | 12:03am

Rawatan untuk bibir menawan

SAYA berusia 20-an dan mengalami masalah bibir kusam dan garisan halus. Saya tidak dapat guna gincu adakan menyebabkan garisan halus dan rekahan pada bibir. Apakah rawatan sesuai yang paling berkesan.

Puteri Ira Megat Nasir

Subang Jaya, Selangor

WANITA yang kemas berbedak, jika tidak mengenakan gincu sudah pasti wajah tidak sempurna dan tampak pucat.

Bibir antara tumpuan utama untuk menyerlahkan kecantikan individu. Bibir yang sihat berwarna sedikit kemerahan dan kelihatan lembap meskipun tidak disapu sebarang losen atau pelembap bibir.

Kulit bibir yang tipis akan berwarna sekata. Apabila usia meningkat, warna bibir turut berubah menjadi kusam dan pigmentasi mula berlaku.


MASALAH bibir yang sering terjadi ialah kering dan menggelupas.

Masalah bibir

Masalah bibir yang sering terjadi ialah kering dan menggelupas. Ia biasanya berlaku apabila kita alah kepada gincu atau losen tertentu. Bibir yang kering dan merekah akan perit serta menyakitkan.

Apabila kulit bibir bermasalah sudah pasti seseorang tidak dapat mengenakan gincu kegemarannya. Jika disapu gincu kerap kali masalah menjadi lebih teruk dan bibir semakin kering serta gatal. Ini menimbulkan rasa kurang senang terutama wanita yang gemar berhias kerana tanpa gincu sudah tentu wajah tidak berseri.


RAWATAN yang boleh dicadangkan ialah menggunakan laser.

Rawatan menggunakan laser

Antara rawatan yang boleh dicadangkan ialah menggunakan laser untuk membantu menjadikan bibir lebih merah, anjal, mengurangkan rekahan dan garisan kerutan halus pada bibir. Rawatan ini difahamkan menjadi pilihan artis terkenal Hollywood.

Laser yang menggunakan gelombang 1,046 nm akan dipancarkan pada bibir dalam lingkungan tiga hingga lima minit dan pancaran laser itu akan merangsang kolagen dan tisu elastin yang ada pada bibir. Tiada kesan bengkak, kemerahan atau terbakar dapat dirasai.

Apabila kolagen dan elastin dirangsang, ia akan menjadikan warna bibir kemerahan, mengurangkan garisan halus dan melembutkan lagi tekstur bibir.

Sesi laser bergantung pada masalah pada bibir. Kebiasaannya memerlukan antara tiga hingga lima sesi untuk menampakkan hasil yang memuaskan dan dicadangkan lakukan prosedur itu sebulan sekali.


ADA beberapa pelembap untuk bibir yang mengandungi vitamin dan pelembap tinggi.

Pengambilan vitamin C

Pengambilan vitamin C yang banyak dan ubat sapuan untuk menahan sakit serta mengurangkan keradangan juga boleh membantu merawat masalah pada bibir.

Ada beberapa pelembap untuk bibir yang mengandungi vitamin dan pelembap tinggi. Adakalanya ulser menjadi serius dan antibiotik diperlukan. Apabila gejala menjadi serius, ia akan menyebabkan masalah pada gusi dan halitosis iaitu mulut berbau.

Bagi kes sebegini pengambilan vitamin C secara suntikan amat berkesan. Ia lebih cepat bertindak dan kita dapat memberikan dos yang sebenar dengan tepat.


PENGGUNAAN kaedah rawatan aestetik.

Penggunaan filler

Bagi mereka yang memiliki bibir yang kecil dan kurang menyerlah, penggunaan kaedah rawatan aestetik, iaitu filler hyaluronic acid juga boleh dilakukan. Filler yang disuntik pada sekeliling bibir membuatkan bibir tampak lebih menawan dan seolah-olah terlukis indah.

Bagi wanita yang memasuki usia 40-an, warna bibir sudah tentu pudar dan bibir juga turut mengecut menjadi kecil. Penggunaan filler akan menyerlahkan semula bentuk bibir, menjadikan bibir lebih anggun dan tebal.

Suntikan lemak

Selain daripada kaedah filler hyaluronic acid, lemak juga boleh di gunakan untuk menganjalkan bibir dan membentuk bibir.

Kaedah ini dilakukan dengan mengambil lemak daripada badan sendiri iaitu di bahagian peha atau pinggul dan kemudian diproses.

Lemak itu disuntik terus ke dalam bibir. Penggunaan lemak yang mengandungi kolagen dan stem sel secara semula jadi boleh menyerikan bibir sejurus selepas disuntik.

Lemak yang disuntik itu mampu bertahan antara satu hingga dua tahun dan kaedah ini bebas daripada alahan kerana menggunakan lemak sendiri.

Berita Harian X