Jumaat, 10 April 2015 | 8:45pm
PEMAIN UiTM FC, Nursalam Zainal Abidin (tengah) cuba melepasi kawalan dua pemain Kuantan FA, Lee Kwang Hyeon (kiri) dan Hazwan Fakhrullah pada perlawanan Liga Perdana di Stadium UiTM, Shah Alam, petang tadi. - Foto Osman Adnan

Liga Perdana: T-Team rampas teraju; UiTM, KL raih kemenangan

Oleh Wan Fakhrul Bakar dan Syafiq Aznan

[email protected]

KUALA LUMPUR: Kelab dari Terengganu, T-Team merampas seketika tangga teratas Liga Perdana selepas mereka berjaya menewaskan DRB-HICOM FC 2-1 di Stadium Proton, Tanjung Malim, petang tadi.

Skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu mendahului menerusi jaringan Farhod Tadjiyev pada minit ke-41 sebelum penyerang import dari Uzbekistan berusia 29 tahun itu menambah gol kedua pada minit ke-70.

Gol tunggal tuan rumah diperoleh pada masa kecederaan hasil jaringan Aris Zaidi.

Kemenangan itu membolehkan T-Team mengumpul 14 mata selepas tujuh perlawanan untuk berkelebihan menerusi perbezaan gol dengan pendahulu sebelum ini, Pulau Pinang yang hanya akan turun beraksi menentang Negeri Sembilan (NS) Matrix di Paroi, Ahad ini.

Namun kedudukan T-Team di persada liga mungkin akan dirampas Sabah andai pasukan yang kini turun seketika ke tangga ketiga itu berjaya menewaskan PKNS FC di Stadium Likas, malam ini.

Sementara itu, di Stadium UiTM, Shah Alam, pasukan UiTM FC naik empat anak tangga ke kedudukan keempat liga selepas berjaya mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dengan menewaskan Kuantan FA 3-2, petang tadi.

Tuan rumah selesa mendahului 2-0 menerusi jaringan Abdi Kassim Sadallah pada minit ke-15 dan Dao Bakary, minit ke-39 sebelum malang menimpa Kuantan FA apabila terpaksa beraksi 10 pemain selepas penjaga golnya, Judtanna Eh Put dilayangkan kad merah kerana menjatuhkan Nursalam Zainal Abidin di dalam kotak penalti.

Sepakan penalti itu disempurnakan Bakary untuk gol ketiga UiTM FC pada minit ke-72 tetapi Kuantan FA tidak berputus asa dan akhirnya berjaya membalas dua gol lewat menerusi sepakan penalti Milan Purovic pada minit ke-84 dan tandukan pemain import baharu, Fabrice Noel, minit ke-87.

Di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pula, Kuala Lumpur naik satu anak tangga ke kedudukan ke-10 selepas berjaya menamatkan kemarau kemenangan sepanjang empat perlawanan apabila menewaskan pasukan tercorot, KL SPA 1-0 menerusi jaringan tunggal Kalle Sone pada minit ke-70.

"Satu kemenangan yang penting. Harap ia dapat memberi keyakinan kepada para pemain untuk melakukan yang lebih baik dalam perlawanan seterusnya bertemu JDT II di Stadium Merdeka, Jumaat depan.

"Apa pun masih banyak yang perlu diperbaiki," kata pengendali sementara Kuala Lumpur, Tang Siew Seng ketika ditemui selepas perlawanan, petang tadi.

KEPUTUSAN PERLAWANAN LIGA PERDANA, PETANG TADI

Di Stadium Proton, Tanjung Malim

- DRB HICOM.......1 T-TEAM........2

DRB (Aris Zaidi m-90+4)

T-Team (Farhod Tadjiev m-41 & m-70)

Di Stadium UiTM, Shah Alam

- UITM FC.......3 KUANTAN FA........2

UiTM (Abdi Kassim Sadallah m-15, Dao Bakary m-39, m-72 -pen)

Kuantan (Milan Purovic m-84, Fabrice Noel m-87)

Di Stadium MBPJ, Kelana Jaya

- KL SPA........0 KUALA LUMPUR.......1

KL (Kalle Sone m-70)

Berita Harian X