Jumaat, 10 April 2015 | 10:38pm
PEMAIN Sabah, Joel Chianese (tengah) diasak pemain pertahanan PKNS FC, Gonzalo Soto pada aksi Liga Perdana di Stadium Likas, malam ini. Foto - Lano Lan

Liga Perdana: Sabah gagal pintas T-Team di tangga teratas

KOTA KINABALU: Sabah gagal merampas kedudukan teratas Liga Perdana daripada T-Team selepas mereka sekadar seri 1-1 dengan PKNS FC di Stadium Likas, malam ini.

Terdahulu pada sebelah petang, T-Team muncul pendahulu baharu liga mengatasi Pulau Pinang selepas meraih tiga mata penuh menewaskan DRB-HICOM FC 2-1 di Stadium Proton, Tanjung Malim.

Sabah dilihat berpeluang cerah untuk memintas kedudukan T-Team itu selepas mendahului PKNS FC menerusi jaringan Eamon Zayed pada minit ke-15.

Namun tiga mata penuh diidam Sabah dinafikan jaringan penyamaan PKNS FC menerusi Pedro Henrique pada minit ke-76.

Dengan keputusan malam ini, T-Team di tangga teratas dengan 14 mata diikuti Pulau Pinang juga 14 mata tetapi dibezakan jaringan.

Sabah di tangga ketiga dengan 13 mata, UiTM FC 12 mata, Negeri Sembilan (NS) Matrix 11 mata dan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) 10 mata untuk enam kedudukan teratas.

Dua baki perlawanan ketujuh liga hanya akan berlangsung Ahad ini - NS Matrix bertemu Pulau Pinang di Paroi dan JDT II bertemu Kedah di Pasir Gudang.

KEPUTUSAN PERLAWANAN LIGA PERDANA

Di Stadium Likas, Kota Kinabalu

- SABAH.......1 PKNS FC......1

Sabah (Eamon Zayed m-15)

PKNS (Pedro Henrique m-76)

Di Stadium Proton, Tanjung Malim

- DRB HICOM.......1 T-TEAM........2

DRB (Aris Zaidi m-90+4)

T-Team (Farhod Tadjiev m-41 & m-70)

Di Stadium UiTM, Shah Alam

- UITM FC.......3 KUANTAN FA........2

UiTM (Abdi Kassim Sadallah m-15, Dao Bakary m-39, m-72 -pen)

Kuantan (Milan Purovic m-84, Fabrice Noel m-87)

Di Stadium MBPJ, Kelana Jaya

- KL SPA........0 KUALA LUMPUR.......1

KL (Kalle Sone m-70)

Berita Harian X