Sabtu, 11 April 2015 | 12:02am
ANTARA tikus yang berjaya ditangkap oleh Jabatan Kesihatan DBKL ketika operasi di Pasar Raja Bot, Kuala Lumpur. - Foto Abdullah Yusof
KAKITANGAN Jabatan Kesihatan DBKL mengendalikan kerja menangkap tikus di Pasar Raja Bot, Kuala Lumpur. - Foto Abdullah Yusof
ASPEK kebersihan yang tidak diberi tumpuan menyebabkan jumlah tikus meningkat. - Foto Abdullah Yusof
KAKITANGAN Jabatan Kesihatan DBKL meneliti tempat tikus bersembunyi. - Foto Abdullah Yusof

DBKL perangkap 23 tikus sejam

KUALA LUMPUR : Perangkap 23 tikus dalam sejam! Begitulah hasil operasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Pasar Raja Bot, di sini, sekali gus membuktikan haiwan perosak itu cepat membiak.

Operasi membanteras ancaman tikus di pasar harian itu, baru-baru ini, dilakukan selepas tinjauan BH mendapati keadaan yang kotor dan menjijikkan di kawasan itu mengundang kehadiran banyak haiwan berkenaan.


TEMPAT penyeludupan dan pendaratan PATI di kawasan Pulau Hijau, Kota Tinggi. - Foto NSTP

Mudah membiak

Dalam operasi bermula jam 9.45 malam itu, sebanyak 40 perangkap tikus disediakan pihak berkuasa tempatan itu menggunakan umpan ubi keledek, selain menggunakan dua perangkap EZ-Catch bersaiz besar.

Ketua Unit Kawalan Pest DBKL, C Mariappan, berkata tikus akan lebih mudah membiak jika terdapat tiga asas keperluan mencukupi iaitu sumber makanan termasuk sisa makanan yang dibuang, sumber air dan tempat berlindung.

Katanya, populasi tikus di pasar memang memberi ancaman kepada DBKL dan pihak berkuasa tempatan lain kerana haiwan perosak itu mudah mendapatkan sumber makanan di persekitaran berkenaan.

"DBKL sentiasa agresif mengadakan operasi membanteras tikus secara berjadual di semua pasar harian, gerai dan kawasan yang mempunyai ancaman tikus.

"Operasi malam ini membuktikan populasi tikus memang besar di pasar harian dan menjadi harapan DBKL supaya adanya kerjasama antara peniaga untuk menjaga kebersihan," katanya kepada BH.

Jejak sarang tikus

Dalam operasi yang disertai 20 anggota DBKL termasuk sembilan pelatih Kebersihan Awam, Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) itu, sarang tikus turut dijejaki dengan menyembur sejenis racun serangga 'tikumin 1000' bersama campuran dedak ayam.

Pembantu Kesihatan Awam DBKL, Omar Hasan, turut menunjukkan lokasi pembuangan sisa jualan peniaga di Pasar Raja Bot sebagai punca pertambahan populasi haiwan perosak itu.


ANGGOTA Imigresen meninjau lorong tikus di kawasan peranginan Desaru. - Foto NSTP

Malah, katanya, tindakan peniaga yang bersikap sambil lewa dan tidak memandang serius aspek kebersihan apabila membuang sisa jualan menyebabkan tempat pembuangan sampah menjadi tumpuan tikus mendapatkan sumber makanan.

"Kita lihat ada begitu banyak perut ayam, ikan dan hasil sayur-sayuran dibuang begitu sahaja di dalam tong yang tidak bertutup. Ini menyebabkan tikus mudah untuk mendapatkan sumber makanan.

"Di bahagian dalam pasar juga, kami menasihatkan peniaga supaya menutup barangan jualan pada sebelah malam untuk mengelak tikus menyebarkan virus kencing tikus," katanya.

Kajian leptospirosis

Sementara itu, sekumpulan pakar mikrobiologi universiti tempatan sedang menjalankan kajian dan penyelidikan mendalam mengenai penyakit kencing tikus (leptospirosis) yang semakin serius di negara ini.

Kajian itu untuk memahami punca sesetengah pesakit mengalami komplikasi, ciri-ciri bakteria yang 'pathogenik' (ganas) dan kelakuan tikus yang membawa bakteria berkenaan.

Selain itu, ia turut bertujuan menghasilkan ubat antibiotik yang lebih berkesan membantu meningkatkan tahap imunisasi seseorang dalam melawan penyakit kencing tikus.

Kajian yang dimulakan tahun lalu dibuat Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Makin serius

Pakar Mikrobiologi Klinikal, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, Prof Dr Zamberi Sekawi, berkata penyakit kencing tikus semakin serius sejak kejadian banjir di beberapa negeri Pantai Timur, akhir tahun lalu.

Dianggarkan tahun lalu sahaja kira-kira 8,000 kes kencing tikus dilaporkan di seluruh negara.

Zamberi berkata, lebih membimbangkan antibiotik yang digunakan sekarang kurang efektif terhadap pesakit yang sudah menderita penyakit itu selepas beberapa hari.

"Sukar untuk mengenalpasti penyakit ini di peringkat awal kerana simptomnya hampir menyerupai demam lain.

"Simptom yang dialami pesakit adalah seperti demam, sakit kepala dan muntah dianggap sakit biasa yang menyebabkan kes berkenaan terlepas pandang sehinggalah ia semakin serius dan sukar diubati.

"Kerajaan sudah bersetuju untuk menyuntik

dana RM4.7 juta bagi membolehkan kajian dan penyelidikan khusus mengenai penyakit kencing tikus," katanya.

Zamberi berkata, orang ramai mesti berhati-hati ketika berkunjung ke lokasi riadah seperti jeram kerana ia lokasi tikus bersembunyi.

Katanya, pesakit penyakit itu boleh menyebabkan pendarahan dalam paru-paru, kegagalan fungsi hati, buah pinggang selain boleh membawa maut.

* Ikuti usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam membanteras tikus seperti dijelaskan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib kepada BH PLUS, esok.

38 dibaca
Berita Harian X