Selasa, 14 April 2015 | 2:33pm
AMYZA bersama pengarah Azma Aizal Yusoof. - Foto ihsan Amyza

Amyza 'tutup kilang' tak mahu mengandung lagi


KUALA LUMPUR: Amyza Aznan kini mengikut jejak artis tanah air seperti Ziana Zain yang memilih untuk tidak mengandung lagi.

Hal itu diberitahu sendiri ibu kepada tiga anak lelaki ini apabila tumpuannya kini adalah membesarkan anak-anak dan menjaga rumah tangganya.

Kata ibu kepada Ayden Andika Khairil Izhar yang lahir pada 5 November tahun lalu, dia sebenarnya mensasarkan untuk memiliki lebih daripada dua anak dan semuanya hari ini sudah menjadi kenyataan.

Amyza juga pernah melalui episod duka apabila mengalami keguguran sebelum hamil anak ketiga.


AMYZA bersama tiga cinta hatinya. - Foto Instagram

"Janji sudah lebih daripada dua orang anak. Alhamdulillah, tak kira lelaki atau perempuan, semua itu amanah Tuhan. Jadi memang saya sudah 'tutup kilang'... tak mahu mengandung lagi.

"Biarlah sekarang tumpuan saya membesarkan anak dan menjaga rumah tangga," kata ibu kepada Andre Mikhail dan Adrian Adam itu.

Dalam perkembangan lain, Amyza kini sedang melunaskan penggambaran telefilem berjudul Firdaus arahan Azma Aizal Yusoof. Amyza membawakan watak Rahmah seorang kakak yang gila akibat didera suami.


ANTARA babak dalam telefilem Firdaus. - Foto ihsan Amyza

Turut berlakon ialah Amar Asyraf, Fizz Fairuz dan Fauziah Nawi. Ia akan disiarkan dalam slot Cerekarama di TV3 tidak lama lagi.

"Rahmah dijaga adiknya lakonan Amar Asyrag yang hidup kais pagi makan pagi. Oleh kerana dia kuat merayap dan duduk di bawah jambatan, adiknya nekad mengurung dia. Di flat yang didiami mereka, Rahmah turut mengenali seorang budak sekolah rendah.

"Mereka jadi rapat dan budak itu hari-hari kena pukul dengan bapanya lakonan Fizz Fairuz. Dijadikan cerita desakan hidup membuatkan mereka jadi gelandangan dan bertemu dengan nenek yang juga hidup merempat lakonan Fauziah Nawi.

"Saya teruja kerana dapat berlakon semula untuk cerita ini di bawah arahan Azma. Dia seorang pengarah dan kawan yang hebat," katanya.

Berita Harian X