Rabu, 15 April 2015 | 7:21pm

Sukan SEA: Harimau Muda diundi sekumpulan dengan Thailand

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Muda bakal meniti ranjau sukar apabila diundi bertemu juara bertahan, Thailand dan Vietnam dalam saingan Kumpulan B, Sukan SEA 2015 di Singapura, Jun ini.

Berpandu kepada pertemuan terbaru dengan kedua-dua pasukan itu jelas laluan skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee untuk mengulangi pencapaian pingat emas pada edisi 2009 dan 2011 itu agak perit.

Pasukan lain diundi sekumpulan dengan skuad negara adalah Timor-Leste - lawan sama yang diundi dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 - serta Laos dan Brunei.

Berbanding Kumpulan A, pasukan dalam Kumpulan B dijadualkan bermain lebih satu perlawanan kerana enam pasukan berada dalam kumpulan sama.

Dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan menempah tiket ke separuh akhir.

Sukan SEA di Singapura akan membuka tirainya secara rasmi pada 5 Jun depan namun perlawanan bola sepak bermula lebih awal pada 29 Mei.

Pada edisi lalu di Myanmar, Malaysia yang hadir selaku penyandang juara gagal mempertahankan kejuaraan malah sekadar menamatkan saingan di kedudukan keempat selepas tewas 1-2 dalam penentuan gangsa kepada Singapura.

Thailand pula muncul juara selepas menewaskan Indonesia 1-0 di pentas final.

Sementara itu, Kumpulan A membabitkan Singapura, Indonesia, Myanmar, Kemboja dan Filipina.

UNDIAN BOLA SEPAK SUKAN SEA

KUMPULAN A - Singapura, Indonesia, Myanmar, Kemboja, Filipina.

KUMPULAN B - Thailand, MALAYSIA, Vietnam, Laos, Brunei, Timor Leste

Berita Harian X