Rabu, 15 April 2015 | 10:40pm

Petanque sasar tamat kemarau emas Sukan SEA


TAN Sri Mohamad Noor Abdul Rahim (tengah) bergambar bersama atlet petanque negara dan piala pada sesi memperkenalkan barisan atlet berkenaan selepas sidang media Kejohanan Petanque Antarabangsa Piala Datuk Bandar Kuala Lumpur di sini, hari ini. Turut hadir, Penasihat Pasukan Elit Negara, Datuk Ab Rahim Mohamad Noor (depan, empat kanan). - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Persatuan Petanque Malaysia (PPM) hari ini menamakan 13 atlet yang bakal menggalas cabaran negara pada Sukan SEA 2015 di Singapura, Jun ini dengan sasaran menamatkan kemarau pingat emas sejak acara itu dipertandingkan pada 2001.

Presiden PPM, Tan Sri Mohamad Noor Abdul Rahim yakin barisan atlet kali ini mampu menghadirkan sekurang-kurangnya satu kilauan pingat emas selepas menyertai beberapa kejohanan antarabangsa seperti Piala Dunia Wanita dan Piala Dunia Individu, awal tahun ini.

"Sejak petanque diperkenalkan pada Sukan SEA, kita masih gagal meraih emas, jadi harapan kita dapat satu emas. Kami harap untuk memecahkan kebuntuan pingat emas," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengumumkan Kejohanan Petanque Antarabangsa bagi merebut Piala Datuk Bandar Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Atlet lelaki yang bakal mengalas cabaran pada Sukan SEA Singapura alah Ahmad Safwan Safiin, Saiful Bahri Musmin, Mohamad Hafizudin Mat Daud, Mohamad Hakem Ahmad Saberi, Mohamad Nuzul Azwan Ahmad Tarmizi, Mohd Zarafi Merais dan Syed Akmal Fikri Syed Ali.

Nurul Atiqah Abu Talib, 20, yang meraih emas pada Kejohanan Piala Dunia Wanita di sini, tahun lepas akan mengetuai cabaran skuad wanita bersama Siti Zubaidah Abu Talib, Nur Thahira Tasnim Abdul Aziz, Jasnina Jasmine Johan Johnson, Suhartisera Zamri dan Nurul Ain Mohd Ali.

Dalam pada itu, pengurus skuad negara, Zanilisa Mohamed menyifatkan sasaran satu emas adalah realistik memandangkan skuad berkenaan telah menjalani latihan pusat sejak lima bulan lepas selain turut dibarisi beberapa pemain berpengalaman seperti Nurul Atiqah dan Mohamed Hafizudin.

"Pasukan kita turut dibarisi beberapa pemain yang pernah beraksi pada Sukan SEA yang lepas, jadi saya berpendapat kita sepatutnya tidak berdepan masalah untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu emas di Singapura nanti," katanya.

Zanilisa turut yakin skuad negara mampu meraih juara keseluruhan pada Kejohanan Petanque Antarabangsa tersebut yang menjadi medan pemanas badan sebelum menyertai Sukan SEA nanti.

Empat negara iaitu Thailand, Indonesia, Brunei dan Malaysia mengesahkan penyertaan pada edisi sulung yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM30,000 itu.

Kejohanan selama dua hari yang bermula Sabtu ini di Arena Petanque Kuala Lumpur, Taman Pudu Ulu, Cheras di sini bakal mempertandingkan 10 acara.

Acara tersebut ialah perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita, beregu campuran, tiga berpasukan lelaki dan wanita, tiga sepasukan campuran serta 'shooting' lelaki dan wanita. - BERNAMA

Berita Harian X