Khamis, 16 April 2015 | 12:02am

Hidung senget selepas pembedahan kosmetik


KUALA LUMPUR: Angan-angan seorang lelaki berusia 21 tahun mendapatkan wajah tampan melalui pembedahan plastik bertukar menjadi mimpi ngeri.

Mangsa mendakwa melakukan pembedahan plastik tanpa memikirkan risiko selepas terpedaya dengan tawaran pakej promosi murah.

Lelaki itu yang enggan namanya didedahkan, berkata dia membelanjakan lebih RM18,000 kerana percaya dapat menjadi lebih tampan dengan berhidung mancung.

Selain wang simpanan habis dibelanjakan, lebih mengecewakan anak muda itu, hidungnya senget ke kiri dan tidak seimbang, ditambah bahagian garis kelopak matanya meninggalkan parut hasil pembedahan lebih empat bulan lalu.

"Pada awalnya, saya hanya mahu melakukan pembedahan kosmetik pada hidung, tetapi janji manis perunding kecantikan mempengaruhi saya untuk melakukan empat pembedahan, termasuk pembedahan garisan kelopak mata dan mengecilkan lubang hidung dengan kos keseluruhan lebih RM18,000.


INFOGRAFIK pembedahan plastik. - Grafik BH

"Saya tertarik apabila diberitahu boleh mendapatkan lebih potongan harga jika melakukan pembedahan plastik di bahagian hidung dan mata," katanya kepada BH.

Kecewa dengan hasil pembedahan, mangsa ke klinik kecantikan sama bagi menyatakan rasa tidak puas hati tetapi kakitangannya mengelak daripada berurusan dengannya, dengan mengatakan hidungnya tidak senget.

Berikutan itu, mangsa kini lebih banyak menghabiskan masa di rumah kerana malu tampil di khalayak ramai, selain mengelak bertemu rakan.

"Keadaan ini menyebabkan saya takut, apatah lagi untuk melakukan sekali lagi pembedahan," katanya.

Untuk menyiasat dakwaan mangsa, wartawan BH ke lokasi klinik kecantikan itu di Lembah Klang dengan menyamar sebagai pelanggan.

Seorang perunding kecantikan wanita mempelawa wartawan memasuki sebuah bilik kecil bagi khidmat rundingan rawatan kecantikan.


HIDUNG senget selepas melakukan pembedahan plastik dengan kos lebih RM18,000.

Sebagaimana dakwaan mangsa, perunding itu cuba meyakinkan wartawan untuk melakukan beberapa prosedur pembedahan plastik untuk membentuk hidung lebih mancung.

"Jika tak mahu buat pembedahan plastik 'rhinoplasty' yang berharga RM6,800, you boleh buat suntikan PDO (Polydioxanone) yang lebih popular pada harga RM3,800.

"Paling murah, kami boleh tawarkan you suntikan filler pada harga RM1,800. Tapi suntikan ini hanya bertahan enam bulan," katanya yang turut meminta wartawan mengisi borang pendaftaran yang didakwanya hanya untuk rekod.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong, berkata beliau menerima empat aduan tahun lalu oleh individu yang mendakwa tertipu selepas melakukan pembedahan plastik di klinik yang tidak berkelayakan.

"Dua lelaki dan dua wanita mengalami komplikasi akibat pembedahan plastik oleh klinik tidak berdaftar," katanya.

Beliau meminta orang ramai memeriksa status klinik terlebih dulu, sama ada berdaftar dengan Kementerian Kesihatan dan Majlis Perubatan Malaysia (MMA) sebelum menandatangani perjanjian membuat pembedahan.

Berita Harian X