Jumaat, 17 April 2015 | 12:02am
KAEDAH rawatan laser.
PROSES penuaan menyebabkan perubahan tertentu pada kulit.

Rawatan antipenuaan

SOALAN:

Saya berusia 45 tahun, kini raut wajah semakin kendur, berkedut di tepi mata, dahi dan garisan senyuman. Saya tidak mahu menggunakan botox. Apakah rawatan untuk mengembalikan keanjalan kulit dan antipenuaan.

Nayla Badlishah,

Setapak,

Kuala Lumpur

JAWAPAN:

Proses penuaan menyebabkan perubahan tertentu pada kulit. Apabila usia bertambah, kolagen dan elastin iaitu serat yang mengekalkan ketegangan kulit akan menjadi lemah.

Akibatnya, kulit menjadi kendur, menipis dan kehilangan lemak, sekali gus membuatkan ia kelihatan tidak tegang serta berkedut.

Sinaran matahari juga antara penyebab utama perubahan kulit. Kulit yang kerap terdedah kepada pancaran terik mentari akan menyebabkan kedutan pada kulit.

Pendedahan terhadap cahaya matahari ketika remaja atau kanak-kanak memberikan kesan yang besar kepada kulit pada usia 30, 40 atau 50 tahun.

Oleh yang demikian, pemakaian pelindung sinaran ultra ungu sangat penting dan menjadi asas dalam penjagaan kulit terutama pada bahagian wajah.

Merokok juga menjadi faktor penyumbang kepada kulit berkedut, selain faktor keturunan. Ada beberapa kaedah merawat tanda penuaan seperti asid retinoik untuk membaiki kesan kerosakan akibat matahari.

Sementara itu, garis halus yang disebabkan oleh ekspresi wajah selama bertahun-tahun seperti senyum, kerdipan mata, ketawa, mengunyah atau mengerutkan dahi boleh dirawat dengan beberapa teknik lain sama ada secara suntikan mahupun laser.


BOTOX adalah rawatan awet muda dan menjadi pilihan nombor satu selebriti di Hollywood.

Botox paling popular

Botulinum Toxin (botox) adalah rawatan awet muda yang berasal daripada clostridium botulinum dan ia muncul sebagai pilihan nombor satu selebriti di Hollywood.

Suntikan 'susuk moden' itu bertindak dengan cara menghalang penghasilan bahan kimia neurotransmiter asetilkolin di hujung saraf yang menghantar isyarat pengecutan otot.

Ringkasnya, ia menghalang saraf daripada menyampaikan mesej kepada otot supaya mengecut dan merehatkan otot.

Dalam sejarah industri kosmetik, tidak ada satu rawatan seumpamanya yang begitu pantas berkembang di dalam pasaran seperti botox.

Botox adalah preskripsi ubat-ubatan yang sangat kritikal dikendalikan oleh pakar berkelayakan saja untuk mengelak sebarang risiko.

Jika tidak kena caranya, suntikan berlebihan misalnya boleh menyebabkan kelopak mata atas terkulai ke bawah (ptosis), selain mengancam nyawa.

Pilih rawatan selesa

Ada beberapa alternatif dalam rawatan memberikan keremajaan semula pada wajah di dalam pasaran tanpa memberi kesan komplikasi yang ketara.

Ia sesuai dilakukan oleh individu dengan gaya hidup yang sibuk dan tidak memerlukan cuti atau masa pemulihan yang panjang.

Rata-ratanya, hanya memakan masa lebih kurang 45 minit, waktu rehat selepas prosedur yang sangat sekejap (boleh meninggalkan klinik dengan segera).

Proses penyembuhan juga pantas dan paling penting ketidakselesaan yang minimum daripada prosedur botox yang mungkin agak menyakitkan.

Antara soalan yang boleh diajukan kepada doktor sebelum prosedur dimulakan adalah dari segi kelayakannya, hasil yang boleh dijangkakan, jangka masa rehat, risiko dan komplikasi.


KAEDAH rawatan mesoterapi dan mikroneedling

Berikut antara beberapa prosedur rawatan kosmetik terkini dan sebahagiannya semakin popular bagi masalah penuaan kulit:

1) Mesoterapi dan mikroneedling

Gabungan, platelet rich plasma (PRP) atau vitamin dan mineral (memerlukan isi padu jumlah mengikut kesesuaian individu) disuntik menggunakan jarum yang sangat halus, secara langsung di bawah permukaan kulit yang disasarkan.

Ia membantu melawan radikal bebas, merangsang fibroblast yang menghasilkan serat kenyal, kolagen dan elastin di samping mendorong metabolisme badan.

Selain kegunaannya untuk merawat kedutan di muka, mesoterapi juga boleh digunakan untuk pengurangan berat badan, selulit, keguguran rambut, menghapuskan kesan parut dan membentuk badan.

2) Laser

Menggunakan laser karbon dioksida (CO2) atau Laser Q-switch yang dipancarkan pada kulit, kemudian diserap oleh cecair di dalam sel-sel kulit. Ia membantu menegangkan kedutan dan garis halus.

Sel kulit lebih tua disingkirkan dengan lembut, lapisan demi lapisan, digantikan dengan kulit baharu, segar dan sihat.

Proses ini juga memulakan pengeluaran kolagen yang mengetat dan memberikan penampilan muka yang lebih 'terangkat'.

Hasilnya juga boleh melenyapkan garisan pada bibir yang disebabkan oleh aktiviti merokok dan merawat parut jerawat.

Berita Harian X