Selasa, 21 April 2015 | 12:04am
PENARI Dabus bukan saja perlu menari mengikut alunan muzik tetapi turut mencucuk tangan dengan sebatang besi tajam. - Foto Farhan Najib
PENARI Dabus bukan saja perlu menari mengikut alunan muzik tetapi turut mencucuk tangan dengan sebatang besi tajam. - Foto Farhan Najib
SEORANG penari menikam lengan dengan Anak Dabus pada kemuncak persembahan Tarian Dabus. - Foto Mustafa Ngah Mansor
SEORANG penari menikam lengan dengan Anak Dabus pada kemuncak persembahan Tarian Dabus. - Foto Mustafa Ngah Mansor

Dabus: Antara seni dan mistik

PENARI bukan saja perlu menari mengikut alunan muzik tetapi turut mencucuk tangan dengan sebatang besi tajam.

Ada ketikanya cucukan itu mengeluarkan darah dan ada kalanya mereka seolah-olah kebal dan tikaman itu hanya meninggalkan bekas cucukan.

Inilah keistimewaan Tarian Dabus, seni tarian tradisional yang sudah bertapak sejak hampir 300 tahun lalu dan hingga kini, ia masih dipersembahkan walaupun semakin tenggelam dengan arus kemodenan.

Ada yang menyatakan tarian sebegini sudah tidak sesuai dipersembahkan dan ada yang percaya, Tarian Dabus sering kali dikaitkan dengan alam mistik - sama dengan tarian Kuda Kepang dan Tarian Piring, - Dabus juga tidak lari daripada unsur ritual.

TARIAN Dabus, seni tradisional yang sudah bertapak sejak hampir 300 tahun lalu. - Foto Wong Tuck Keong
TARIAN Dabus, seni tradisional yang sudah bertapak sejak hampir 300 tahun lalu. - Foto Wong Tuck Keong

Ketuanya yang dipanggil 'Khalifah' perlu membuat perjanjian darah dengan besi, selain mendalami ilmu daripada kitab khas yang mengandungi segala jampi serapah dalam persembahan Tarian Dabus.

Baru-baru ini, BH berkesempatan mengikuti sendiri persembahan Dabus di Tanjung Bidara, Pasir Salak, Perak, satu-satunya perkampungan yang komunitinya masih mengekalkan seni unik turun temurun itu.

Khalifah Tarian Dabus Tanjung Bidara, Nasaruddin Abdullah Sani, yang berusia 60-an berkata, perjanjian dengan besi itu adalah satu kemestian bagi mengelakkan penari Dabus mendapat kecederaan atau lebih teruk, mendatangkan bahaya kepada penonton.

Besi yang digunakan dalam tarian ini dikenali sebagai Anak Dabus, iaitu sebatang besi tajam yang mempunyai loceng di atasnya. Jika tersalah cucuk, ia mampu mencederakan dan ketajamannya dikatakan mampu menembusi sebiji tembikai dengan mudah.

PENARI Dabus mencucuk lengan dengan besi tajam dipanggil Anak Dabus. - Foto Diana Yeoh
PENARI Dabus mencucuk lengan dengan besi tajam dipanggil Anak Dabus. - Foto Diana Yeoh

Siapa lebih tua

Ada peristiwa pernah terjadi tikaman menyebabkan darah memancut keluar tanpa henti dari tangan penari ketika mencucuk Anak Dabus.

Jika ini berlaku ia kebiasaannya dikaitkan dengan gangguan dari luar dan menjadi tugas Khalifah untuk mengawal situasi serta menyembuhkan penari. Jika tidak, penari boleh kehilangan darah dalam masa singkat, yang akhirnya boleh membawa maut.

"Ini pentingnya seorang Khalifah itu membuat perjanjian dengan besi, supaya tikaman Anak Dabus tidak melebihi had yang dijanjikan selain perbuatan penari tidak melarat dan mencederakan," kata Nasaruddin.

Terdetik seketika di hati, perjanjian apakah yang dimaksudkan? Adakah mereka perlu `menurun' dengan besi atau memerlukan seorang Khalifah keluar bertapa? Puas dipujuk untuk menceritakan bagaimana cara perjanjian itu dilakukan, namun gagal.

"Perjanjian ini dibuat kerana mengambil kira asal usul besi dan manusia. Siapa yang lebih tua (lebih awal dicipta), manusia atau besi? Kita tidak boleh memperkecilkan besi kerana besi lebih tua.

"Bila ada perjanjian, kedua-dua pihak akan berpegang kepada janji. Tikaman juga ada hadnya, ada syaratnya. Tidak boleh sesuka hati menikam, ia hanya untuk permainan. Tiada istilah untuk menunjukkan siapa lebih kebal dan berkuasa," katanya.

TARIAN Dabus sering dikaitkan dengan alam mistik seperti Kuda Kepang dan Tarian Piring. - Foto Farhan Najib
TARIAN Dabus sering dikaitkan dengan alam mistik seperti Kuda Kepang dan Tarian Piring. - Foto Farhan Najib

Perjanjian antara Khalifah dengan besi, menjadi rahsia besar kepada Khalifah. Tiada siapa yang mengetahuinya melainkan mereka mendapat seru diangkat menjadi Khalifah Tarian Dabus.

Sangkaan awal mengenai peranan Khalifah berubah. Pada mulanya Khalifah disangkakan hanya berperanan sebagai ketua kumpulan kebudayaan, yang membetulkan tarian serta paluan rebana. Hakikatnya, Khalifah dalam Tarian Dabus tidak ubah sebagai seorang penjaga.

Dalam setiap persembahan, Khalifah perlu memastikan kawasan yang ingin dipersembahkan benar-benar `bersih', bebas daripada unsur 'gangguan', tidak kiralah perbuatan khianat atau usikan nakal daripada 'penunggu' asal kawasan itu.

Selepas benar-benar pasti gelanggang persembahan selamat, Khalifah akan memulakan upacara menggunakan sedulang alat air tawar yang mengandungi kemenyan, bertih, beras kunyit, umbut pisang, daun setawar, daun sirih dan air penawar bisa untuk memulih dan menawarkan bisa tikaman.

Dapat izin

Kemenyan akan dibakar, lafaz Bismillah akan dibaca diikuti jampi serapah yang telah diamalkan dan diturunkan dari generasi ke generasi. Malah, setiap Khalifah turut memegang sebuah kitab khas Tarian Dabus.

Khalifah kemudiannya akan menabur bertih dan beras serta merenjis air ke seluruh gelanggang. Setiap ahli kumpulan Dabus, daripada pemain muzik hinggalah penari perlu mendapat izin daripada Khalifah sebelum memulakan tarian dan ketika menamatkan tarian.

TARIAN Dabus juga tidak lari daripada unsur ritual. - Foto Wong Tuck Keong
TARIAN Dabus juga tidak lari daripada unsur ritual. - Foto Wong Tuck Keong

Peranan Khalifah dalam tarian ini menunjukkan kepentingannya. Tanpa Khalifah, mustahil untuk Tarian Dabus terus hidup.

Ketika ditanya kepada Nasaruddin bagaimana dia boleh menjadi seorang Khalifah, beliau hanya menyatakan ia satu anugerah.

Nasaruddin menambah, keluarganya terbabit dalam Tarian Dabus sejak tujuh generasi dan arwah ayahnya juga adalah seorang Khalifah. Boleh dikatakan semua Khalifah Tarian Dabus Tanjung Bidara datang daripada susur galur keturunan yang sama.

"Saya mula terbabit dalam Tarian Dabus sejak usia 12 tahun lagi. Ketika itu, tiada hiburan lain seperti zaman sekarang, jadi Dabus menjadi hiburan kami ketika itu. Boleh disifatkan Dabus begitu dekat dengan saya sehinggalah saya menjadi Khalifah.

"Permulaan saya sebagai Khalifah ialah apabila arwah ayah sudah uzur. Dia memberi pesanan "Ambil ayat ini dan hidupkan, teruskan Dabus sebagai seni, jangan kita hapuskan, mana yang tahu disambung-sambung".

"Saya tidak minta untuk diberi kepercayaan tapi ini adalah satu pemberian. Tapi bukan terus dapat, banyak syarat dan pantang larang untuk menjadi Khalifah. Seorang Khalifah kena yakin, tidak panas baran, jaga tingkah laku, perbuatan, percakapan. Tiga tahun saya amalkan ayat yang diberi arwah ayah baru saya dapat seru menjadi Khalifah. Selepas bertanya dan minta izin daripada mereka yang lebih tua, akhirnya saya menjadi Khalifah sehingga kini," katanya.

* IKUTI siri kedua esok yang memaparkan gerak tari komuniti Dabus yang turut diiktiraf oleh Pelancongan Malaysia

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X