Rabu, 22 April 2015 | 12:05am

Kami umpama pasangan kekasih - Ozlyn


KUALA LUMPUR: Sebelum menjadi orang penting dalam hidup Johan Raja Lawak, Ozlyn atau nama sebenarnya Rozlinawaty Ismail terlebih dahulu mencari rezeki dengan bergelar pelakon.

Malah, hingga saat ini, Ozlyn sebenarnya masih menerima tawaran berlakon cuma kelibatnya jarang disedari kerana tumpuan lebih banyak dilihat dengan rutinnya sebagai pengurus kepada Johan sendiri.

Pertemuan dengan Ozlyn, baru-baru ini di Publika, Solaris Dutamas pada sidang media pertandingan Ceria Popstar musim ketiga siaran Astro Ceria, yang menampilkan Johan sebagai seorang juri tetap membolehkan BH Plus mendasari hatinya menjadi insan paling dekat di sisi suaminya itu. Jelas, Johan cukup bermakna dalam hidup Ozlyn dan begitu juga Ozlyn dalam hidup Johan. Kedua-duanya saling melengkapi antara satu sama lain.

Ketepikan isu kucupan mesra mereka di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014 beberapa minggu lalu kerana masing-masing sudah menjelaskan tindakan spontan berkenaan.

Ozlyn mengakui menjadi orang penting dalam hidup Johan membuatkan dia boleh bertukar pelbagai karakter pada satu masa.

"Saya boleh jadi isteri, kawan, pengurus, bos dan kadang-kadang kami umpama pasangan kekasih. Jadi tak pelik apabila kami berkucup tanpa dirancang ketika trofi Penyampai Radio Lelaki Popular diumumkan menjadi milik Johan. Kemesraan kami boleh jadi lain macam. Itu belum saya bertukar karakter jadi bos, garang saya boleh tahan juga.

"Memikul mandat semua ini dalam satu masa, ia satu pengalaman menyeronokkan dan ada kala amat memberikan tekanan. Nama pun manusia biasa. Ada kalanya bila timbul cerita kontroversi, saya kena asingkan perasaan isteri dan pengurus secara automatik. Saya sebagai pengurus perlu bijak mengatasi isu berbangkit, contohnya isu ciuman itu. Saya tak boleh melatah.

OZLYN memikul pelbagai peranan dalam hidup Johan, membuatkannya boleh bertukar karakter pada satu-satu masa. - Foto Zaidi Mohamad
OZLYN memikul pelbagai peranan dalam hidup Johan, membuatkannya boleh bertukar karakter pada satu-satu masa. - Foto Zaidi Mohamad

"Bagaimana pula saya harus menguruskan suami secara serentak dengan tuntutan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu, saya perlu positif. Pendek kata, memang karakter saya boleh bertukar. Tapi Alhamdulillah, susah dan senang, kami atasi bersama sebaik mungkin. Insya-Allah," kata Ozlyn.

Menjadi isteri kepada Johan, Ozlyn memang cukup bertuah kerana suaminya itu gemar memanjakan isterinya dengan barangan mewah selepas penat bekerja. Tetapi lain pula ceritanya apabila Ozlyn memuat naik gambar barangan mewah di laman Instagram yang dikongsi mereka, di bawah nama @jozlynnhanania. Mula timbul pula cakap belakang yang mengatakan pasangan ini cuba menunjuk-nunjuk.

"Terpulang kepada tanggapan orang. Tak semua yang akan sukakan kita dan perasan hasad dengki itu bukan perkara pelik. Tapi apa yang dilakukan Johan itu sebagai menghargai isterinya. Bukan mudah untuk kita puaskan hati semua orang. Ibaratnya kalau ada yang dengki, sampai ke sudah ada saja modal mereka nak hentam dan kritik.

"Baik atau buruk kita terima semuanya dengan hati terbuka. Yang baik kita jadikan teladan dan buruk itu sebagai sempadan. Johan memanjakan saya begini kerana dia dan saya pernah melalui fasa kesusahan. Kami pernah rasa susah. Contohnya pernah berkongsi sebungkus nasi untuk diberikan kepada anak dan akhirnya kami hanya menjamah sisa baki sahaja.

"Macam dengan kes nak bersalin di mana. Saya pernah kata bersalin sahaja kat hospital biasa kerana sakitnya tetap sama sekalipun bersalin di hospital swasta. Tapi sekali lagi, dia menghargai saya dan mahukan keselesaan dengan membayar perkhidmatan di hospital swasta. Saya cakap membazir sahaja. Dia cakap kepada saya, duit boleh dicari, tapi isteri tak boleh ditukar ganti. Baginya, saya yang memberi zuriat kepadanya, jadi tak salah untuk dia berbuat begitu," katanya.

Bercerita lanjut mengenai suaminya, Ozlyn sedar ramai yang mengetahui suaminya itu suka beramal dan bersedekah. Lihat sahaja kalau ada majlis kesyukuran atau hari lahir anak, anak yatim atau mereka yang kurang bernasib baik turut dijemput sekali gus diraikan. Kata Ozlyn, itu sisi Johan yang membuatkan dia sendiri mengakui cukup bertuah memiliki Johan.

Malah, kongsi Ozlyn, Johan juga tidak kisah untuk menunggang motosikal biasa ke tempat kerja bagi mengelak kesesakan lalu lintas. Kesenangan yang dikecapi kini oleh Johan, tidak langsung mengubah dirinya yang dahulu.

"Dia (Johan) memang selesa menjalani kehidupan biasa. Jangan dihirau atau pelik jika dia masih memakai kasut atau baju tak ada jenama. Memang senang nak uruskan dia. Dia tak banyak kerenah. Kalau perlu ke acara majlis hiburan yang memerlukan dia bergaya formal pun, dia lebih selesa memakai apa yang ada. Tapi sebagai pengurus, saya kadang-kadang perlu berkeras untuk memastikan dia bergaya sepatutnya.

"Hingga kini dia ada memiliki jeans berharga RM19.90. Saya rasa mungkin artis baharu sekarang yang tak popular pun belum tentu ada harga jeans semurah itu," katanya.

Lumrah hidup berumah tangga, dugaan itu datang dengan pelbagai cara. Tidak terkecuali dalam bahtera dilayari Ozlyn dan Johan.

"Alhamdulillah dugaan itu tak membabitkan lelaki atau perempuan lain. Kami bahagia seadanya. Dia pun jenis yang positif biarpun kami sering bercanggah pendapat. Dia suami yang `sempoi'. Andai ditakdirkan dia pergi dahulu daripada saya, sesuatu yang mustahil untuk saya mencari ganti. Sukar mencari Johan yang kedua. Dia cukup sempurna di mata saya.

"Ada ilmu agama, bapa penyayang, suami yang baik. Dia sangat mementingkan akhirat sekalipun ada yang skeptikal saya masih belum bertudung. Ada pernah yang komen di laman Instagram, cakap dia bagus mendidik anak ke arah syurgawi dan secara sinikal mempersoalkan kenapa tak ajar isteri bertudung.

"Dalam soal bertudung, dia tak pernah memaksa. Cuma kalau saya mengenakan tudung untuk acara tertentu, dia tak lepas memuji. Dia cakap sejuk hati tengok saya bertudung. Itu cara halus dia. Siapa tahu doa dia akan dimakbulkan Tuhan," katanya.

Mengenai kerjaya lakonan, Ozlyn sebenarnya baharu sahaja tercalon untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Tribute P Ramlee, baru baru ini, menerusi telefilem Apa Guna Berjanji arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba. Bagaimanapun, tuah menyebelahi Ogy Ahmad Daud untuk kategori berkenaan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X