Rabu, 22 April 2015 | 8:05am

Perbincangan boleh lerai permasalahan laksana hudud

Meneliti hujah yang dibahaskan ahli panel pada Bicara Persada XIX bertajuk 'Pelaksanaan Hudud: Peluang dan Cabaran' anjuran bersama Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Undang-Undang dan Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kesimpulannya ialah mustahil undang-undang hudud dapat dilaksanakan di negara ini.

Tetapi apabila penekanan bahawa hudud adalah perintah Allah SWT yang tiada siapa boleh mempertikaikannya dan sebagai orang Islam yang mengaku beriman kepada Allah SWT kita perlu melaksanakan hudud, mahu tidak mahu undang-undang Islam itu mesti dikuatkuasakan.

Cuma, pada masa ini cahaya di hujung terowong masih tidak kelihatan menjadikan hasrat melihat undang-undang hudud menjadi sebahagian daripada undang-undang negeri apatah lagi negara masih lagi gelap gelita. Itulah ibaratnya, namun ia tidak menghalang perbincangan mengenai hudud diteruskan.

Perkara yang dirasakan mustahil hari ini boleh jadi tidak mustahil pada masa akan datang apabila satu titik pertemuan berjaya dihasilkan dan kekangan yang selama ini menjadi batu penghalang dapat dirungkai dengan baik.

Menurut bekas Ketua Hakim Negara yang juga Profesor Adjung UKM, Tun Abdul Hamid Mohamad, yang melihat pelaksanaan hukum hudud dari sudut Perlembagaan, Kerajaan Persekutuan dan negeri tidak boleh membuat undang-undang yang terletak di bawah bidang kuasa pihak lain.

Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara dan sebarang undang-undang yang tidak seiring dengannya adalah tidak sah.

Oleh itu, walaupun hukum hudud diperuntukkan dalam undang-undang Islam yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, undang-undang itu terbatas kepada peruntukan yang diberikan Perlembagaan Persekutuan.

"Undang-undang jenayah terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan dan kesalahan yang dilakukan orang Islam terhadap perintah agama pula terletak di bawah bidang kuasa negeri. Kesalahan hudud seperti bunuh, rompak, rogol dan curi, semuanya sudah ada dalam Kanun Keseksaan yang di bawah kuasa Persekutuan.

"Kanun Jenayah Syariah 1993 cuba letakkan hudud di bawah perundangan negeri. Jadi jelaskan bagaimana Dewan Undangan Negeri (DUN) cuba hendak buat undang-undang yang di bawah kuasa Persekutuan. Memanglah tidak sah," katanya.

Beliau berkata, undang-undang jenayah Persekutuan terpakai kepada semua sama ada Islam atau bukan Islam, tetapi undang-undang negeri hanya terpakai kepada orang Islam. Justeru, ia bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan kerana diskriminasi atas alasan agama, maka ia tidak sah.

Abdul Hamid juga membangkitkan isu bidang kuasa Mahkamah Syariah yang hanya boleh menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan sebagai penghalang kepada pelaksanaan hukum hudud iaitu potong tangan atau rejam kepada pencuri, penzina.

Katanya, sebelum hudud dapat dilaksanakan, Kerajaan Persekutuan perlu meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bagi meluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk mengenakan hukuman hudud.

Negeri perlu minta persetujuan Parlimen

"Jalan keluar untuk hudud tidak ada 'lebuh raya', tetapi jalan kampung yang bengkok-bengkok. Negeri boleh buat, tetapi perlu minta persetujuan Parlimen pinda untuk mengenakan hukuman hudud, atau minta Parlimen benarkan DUN buat undang-undang bagi kesalahan dalam bidang kuasa Persekutuan," katanya.

Katanya, dalam soal hudud ini ramai keliru antara hukum dengan pelaksanaan kerana perbahasan sekarang bukan mengenai hukum, tetapi pelaksanaan. Membangkitkan isu yang perlu dipertimbangkan dalam pelaksanaan, bukan bermakna menentang hukum.

Beliau memberi contoh apabila Khalifah Umar Ibn Al-Khattab menggantung pelaksanaan hukuman hudud bagi kesalahan mencuri semasa berlaku musim kebuluran, tiada siapa menuduh beliau menentang hudud dan menentang hukum Allah SWT.

Umar hanya memutuskan bahawa dalam keadaan itu dan pada ketika itu hukuman hudud tidak sesuai, malah akan membawa kepada ketidakadilan. Hudud hanyalah alat bukan matlamat kerana matlamatnya adalah keadilan.

Promosi salah terhadap hudud

Pengerusi Yayasan Nassar, Nasharudin Mat Isa, pula berpandangan cabaran undang-undang hudud ialah promosi yang salah hingga memberi kesan negatif kepada hukuman hudud sedangkan aspek prosedural tidak diketengahkan kepada masyarakat.

Beliau berkata, memang tidak boleh dinafikan hukuman hudud dituntut oleh Allah SWT, tetapi bagaimana hukuman itu ingin dikerangkakan dalam bentuk undang-undang memerlukan kemahuan pihak pemerintah (political will) serta digerakkan secara bersungguh-sungguh.

"Sekarang ini siapa yang buat hudud jadi serabut? Apabila aspek prosedural seperti keadilan dalam Islam itu tidak diketengahkan akhirnya hudud nampak negatif kerana tidak tahu proses. Bagaimana hendak sabitkan kesalahan dan jatuhkan hukuman tidak dijelaskan," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam UKM, Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, membangkitkan persoalan sama ada umat Islam di negara ini sudah bersedia untuk melaksanakan undang-undang hudud.

Katanya, melihat kepada suasana dan keadaan umat Islam sekarang ini, ia masih belum kondusif untuk melaksanakan hudud kerana umat Islam tidak bersatu dan masih ramai tidak memahami serta mahu menerima hudud.

Ini ditambah pula pertembungan antara kuasa negeri dan Persekutuan yang masih belum menemukan kata putus serta memerlukan perbincangan demi perbincangan antara pihak berwajib. Pada masa sama, menjadi tanggungjawab kerajaan dan Ahli Parlimen untuk menjelaskan hudud serta kebaikannya di Malaysia.

Undang-undang al-Quran

"Saya yakin tiada orang Islam yang kata hudud tidak baik kerana ia undang-undang dalam al-Quran. Ayat al-Quran sudah menjelaskan hukuman untuk mencuri dan berzina. Jadi, sebagai negara Islam perlu ada syariat Islam dilaksanakan.

"Kita perlu melihat hudud secara positif dan memberi penekanan kepada tadbir urus yang betul. Banyak yang perlu diperbaiki dan apabila umat Islam sudah boleh menerima hudud, barulah undang-undang itu boleh dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata, faktor ekonomi juga menentukan suasana kondusif untuk hudud kerana jika ekonomi umat Islam teruk, maka kesan kepada jenayah curi, rompak serta lain-lainnya akan meningkat.

Dr Izhar berkata, walaupun tidak dinafikan hudud membantu mengurangkan kadar jenayah, tapi penambahbaikan dari aspek ekonomi wajib didahulukan kerana Islam tidak diutuskan hanya untuk memberi hukuman, tetapi untuk memakmurkan bumi.

Pelaksanaan perlu sempurna

Oleh itu, mahu tidak mahu hudud perlu dilaksanakan, tetapi pelaksanaannya biarlah betul-betul supaya tidak nampak cacat cela padanya kerana undang-undang itu diutuskan sempurna dan manusia yang menyebabkan ia nampak tidak sempurna.

Hasrat kerajaan Kelantan berdasarkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 untuk melaksanakan hudud di Kelantan dan terikat kepada orang Islam sahaja boleh terlaksana, namun sebelum itu terdapat pindaan perlu dilakukan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi meluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Pindaan juga perlu dilakukan dengan memperuntukkan kuasa yang lebih luas kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan hukuman hudud. Pindaan itu perlu dilakukan di Dewan Rakyat dengan sokongan dua pertiga undi ahli Parlimen.

Hakikatnya, masih banyak yang perlu dilakukan supaya hukum hudud dapat diterjemahkan dalam bentuk undang-undang di Kelantan khususnya dalam soal perundangan membabitkan Perlembagaan. Justeru, semua usaha perlu terarah kepada mencari titik pertemuan untuk mengatasi semua halangan yang ada.

Berita Harian X