Khamis, 23 April 2015 | 12:02am
PENARI Dabus mencucuk lengan dengan besi tajam dipanggil Anak Dabus. - Foto Diana Yeoh
PENARI Dabus mencucuk lengan dengan besi tajam dipanggil Anak Dabus. - Foto Diana Yeoh
TARIAN Dabus dibawa ke Tanah Melayu dari Acheh, Indonesia, sekitar 300 tahun yang lalu.
TARIAN Dabus dibawa ke Tanah Melayu dari Acheh, Indonesia, sekitar 300 tahun yang lalu.
ANAK Dabus, besi tajam yang digunakan dalam Tarian Dabus.
ANAK Dabus, besi tajam yang digunakan dalam Tarian Dabus.

Dabus: Antara langgar syariat dan keistimewaan tarian warisan


RAMAI mempertikaikan mengenai Tarian Dabus kerana jalinannya dengan alam mistik, jampi serapah dan unsur ritual dalam persembahan tariannya, yang menjurus kepada amalan khurafat dalam Islam.

Tidak kurang juga berpendapat Tarian Dabus adalah keistimewaan dan warisan sebenar negara yang patut dipelihara dan dikekalkan, selain menganggap unsur mistik itu sebagai 'penambah perasa' dalam tarian tradisional.

Berikutan pelbagai anggapan dan pertikaian, timbul persoalan sama ada Tarian Dabus ini perlu diteruskan dengan cara tradisional, termasuk penggunaan jampi serapah atau hanya diteruskan sebagai tarian biasa tanpa sebarang unsur mistik.

SEORANG penari menikam lengan dengan Anak Dabus pada kemuncak persembahan Tarian Dabus. - Foto Mustafa Ngah Mansor
SEORANG penari menikam lengan dengan Anak Dabus pada kemuncak persembahan Tarian Dabus. - Foto Mustafa Ngah Mansor

Imam Muda Mohd Hassan Adli Yahya berkata, jika tiada dalil yang menyatakan Tarian Dabus sebagai haram, maka hukumnya adalah harus.

"Tapi kaedah hukum harus ini juga perlu sesuai dan mengikut syarat tertentu seperti pelaksanaan tarian ini tidak bercanggah dengan syariat. Jika berlanggar dengan syariat ia boleh menjadi kesalahan.

"Zaman Rasulullah SAW dulu pun ada permainan tradisi seperti tarian pedang oleh pemuda Habsyah. Mereka menari sambil bermain pedang tapi tidak sampai mencucuk diri dan mencederakan, tiada perkara khurafat. Malah, Rasulullah turut menontonnya, jadi ia adalah satu perkara harus," katanya.

IMAM Muda Mohd Hassan Adli Yahya. - Foto Facebook
IMAM Muda Mohd Hassan Adli Yahya. - Foto Facebook

Bagaimanapun, Mohd Hassan berkata, penggunaan kemenyan dalam upacara Tarian Dabus dilihat agak bercanggah dengan syariat kerana asap adalah makanan jin, selain tindakan mencucuk diri sendiri yang memungkinkan ada elemen ilmu kebal dalam tarian itu.

Katanya, jika kemenyan dan asap digunakan sebagai upacara perubatan dalam tarian, ia sekali lagi bercanggah kerana dalam perubatan Islam tidak pernah menggunakan kemenyan dan asap, hanya menggunakan air.

"Rasulullah pernah menyatakan tulang dan asap itu makanan jin. Saya takut jika perkara sebegini diteruskan, ia boleh memesongkan akidah. Begitu juga dengan jampi serapah yang dibaca, perlu tahu apa bacaannya.

TARIAN Dabus menggunakan jampi serapah dan mistik.
TARIAN Dabus menggunakan jampi serapah dan mistik.

"Kalau bacaan jampi serapah ini bercanggah, ia tidak boleh dibuat kerana takut jika membabitkan unsur pemujaan, ia boleh memesongkan akidah. Setiap perkara perlu jelas, sebagai contoh tarian kuda kepang. Jika penarinya boleh melompat tinggi dan makan bara api, kita boleh tahu ada unsur bantuan alam lain," katanya.

Beliau turut menyatakan tarian tradisional sebegini boleh diteruskan dan setiap orang boleh belajar serta mengembangkan seni tarian tradisional berkenaan tetapi tidak perlu membawa masuk unsur mistik dan ritual.

Sementara itu, Jabatan Kebudayaan Kesenian Negeri Perak (JKKN) mengiktiraf Tarian Dabus sebagai tarian tradisional Negeri Perak sejak lebih 40 tahun yang lalu.

Penolong Pengarah JKKN Perak, Abdul Hamid Abdul Aziz, berkata JKKN Perak turut membuat program pemuliharaan seni Tarian Dabus bagi meneruskan kesinambungan tarian tradisional itu agar tidak pupus.

TARIAN Dabus sering dikaitkan dengan alam mistik seperti Kuda Kepang dan Tarian Piring. - Foto Farhan Najib
TARIAN Dabus sering dikaitkan dengan alam mistik seperti Kuda Kepang dan Tarian Piring. - Foto Farhan Najib

"Kita ajar Tarian Dabus ini kepada generasi muda agar tarian ini tidak hilang. Namun apa yang JKKN Perak buat ialah mengajar pergerakan tarian, mainan alat muzik dan nyanyian dabus ini saja... lebih kepada untuk persembahan.

"Tiada memasukkan ritual kerana hanya orang tertentu yang boleh membuat Tarian Dabus asli yang disertakan dengan jampi serapah dan upacara khas. Ini yang tidak sesuai untuk diajar kepada umum. Tarian Dabus asli lebih sesuai untuk tujuan penyelidikan saja kerana ia mempunyai unsur ritual di dalamnya," katanya.

Abdul Hamid berkata, mengikut sejarah, Tarian Dabus dikategorikan sebagai permainan dan bukannya persembahan.

TARIAN Dabus bertapak di Perak sekitar tahun 1785, sezaman dengan dua pahlawan terbilang iaitu Datuk Seri Maharaja Lela di Pasir Salak dan Datuk Sagor di Kampung Gajah.
TARIAN Dabus bertapak di Perak sekitar tahun 1785, sezaman dengan dua pahlawan terbilang iaitu Datuk Seri Maharaja Lela di Pasir Salak dan Datuk Sagor di Kampung Gajah.

Asalnya setiap pemain akan menari sehingga kemuncaknya mencucuk diri sendiri, melambungkan batu giling dan membelah perut sendiri.

Katanya, kini ia dijadikan persembahan dan diperbaharui kerana banyak teknik Tarian Dabus asli yang tidak sesuai lagi untuk diteruskan.

"Tarian Dabus adalah sebahagian daripada kesenian warisan negara, tidak pernah dipinggirkan dan terus dipelihara kerana ia melambangkan kesenian dan kebudayaan negeri Perak.

"Kita tidak mahu tarian ini pupus, sebab itu kaedah persembahan kini diubah, malah generasi baru pun tidak mahu buat cara orang dulu. Kena sesuaikan dengan peredaran masa," katanya.

Berita Harian X