Jumaat, 24 April 2015 | 12:00am

Kantung mata bengkak

SOALAN:

SEJAK tiga bulan lalu, saya mendapati kantung mata dan bahagian bawah mata tampak sembap dan berwarna hitam. Saya cuba mengatasi masalah itu dengan menyapukan krim mata, tetapi tiada perubahan. Dengan kulit saya yang cerah, kesan seumpama itu menyebabkan kelihatan hodoh. Apakah rawatan lain boleh saya buat?

Siti Mazlifah Mustafa

Sandakan, Sabah.

KANTUNG mata dan bahagian bawah mata kelihatan sembap.
KANTUNG mata dan bahagian bawah mata kelihatan sembap.

MATA berperanan penting menjadikan individu tampak cantik dan menawan. Peranan jurusolek dapat menyerlahkan lagi seksi mata.

Bagaimanapun, apakah cara untuk memastikan mata sentiasa sihat dan cantik? Mata memerlukan penjagaan rapi termasuk pengambilan vitamin akan menambahkan kesempurnaan pancaindera itu.

Pelbagai vitamin di pasaran yang boleh membantu mencantikkan mata. Vitamin boleh membantu membentuk sel mata yang lebih baik dan kuat. Begitu juga kanta lekap beraneka warna membantu meningkatkan seri mata.

Pelbagai warna sapuan dihasilkan dan juga celak dicipta untuk mata. Semuanya bagi menyerlahkan warna mata. Seorang teman gemar menggunakan bulu mata palsu pelbagai corak dan membentuk keningnya bagi mencantikkan mata.

Tidak kurang juga wanita yang gemar menggunakan tatu pada mata mereka. Tatu dibuat bagi mencantikkan alis mata. Tatu moden kelihatan semula jadi dan boleh dibuat dalam pelbagai warna pilihan.

Bagaimanakah struktur mata yang sebenar?

Ia terletak dalam soket mata. Soket mata adalah lubang pada tengkorak yang di kelilingi tulang tipis dan berlubang kecil dipanggil cribriform.

Ia juga dikelilingi sekeping lelemak yang di namakan tarsal plate. Tarsal plate ini mengelilingi mata kita. Lemak mata bergerak sekeliling mata melalui jaringan salurannya yang dinamakan saluran limfatik.

Saluran limfatik mata akan bersambung pula dengan jalinan limfatik pada maxilla (pipi), telinga dan lain lain bahagian tubuh.

Apabila saluran ini tersumbat, banyak lemak akan terkumpul. Lemak yang menjadi keras akan membuat mata kelihatan bengkak dan cengkung.

Kaedah rawatan

Rawatan yang sesuai adalah kaedah pembedahan membuang lelemak bawah mata. Ada teknologi baharu menggunakan fiber optik yang boleh memecahkan lemak dengan mudah, berkesan dan selamat.

Fiber optik yang saiznya kurang daripada satu milimeter (mm) memancarkan tenaga sebanyak 300 joule dengan kuasa lima hingga enam watt saja menjadikan kulit bawah mata tegang. Ia memberi kesan mata yang cantik dan muda.

Ada kalanya saluran darah yang tersumbat mudah pecah di bawah mata menjadikan bahagian di situ lebam dan tampak gelap. Sel-sel darah akan merangsang pula melanocyte menjadi aktif menyebabkan kawasan mata menjadi lebam.

Rawatan yang baik adalah dengan menggunakan enzim khas yang boleh memecahkan dan menghadamkan sel darah yang terkumpul.

Bagi sesetengah orang, lapisan lemak pada tarsal plate pula mudah menipis dan akhirnya hilang menyebabkan bawah mata tampak cengkung dan berlekuk. Perkara ini biasanya boleh diatasi dengan filler atau pemindahan lemak ke bahagian itu.

Ramai wanita menghadapi masalah lingkaran bawah mata dan hingga menampakkan wajah lebih tua. Selepas membuang satu lapisan lemak pada sekitar matanya, dia tampak lebih muda.

Matanya nampak luas dan galak. Keningnya juga terangkat sedikit menjadikan kontur mata tampak lebih bundar daripada biasa.

Berita Harian X