Sabtu, 25 April 2015 | 1:25pm

Single pertama Fazura, Sayangi Dirimu hit di YouTube

FAZURA bersama komposer lagu sayangi dirimu dan wakil warner music.

KUALA LUMPUR: Video muzik single pertama Nur Fazura Sharifuddin berjudul Sayangi Dirimu yang dilancarkan Ahad lalu menerusi laman YouTube meraih lebih 50,000 tontonan hingga hari ini.

Pelakon, pengacara dan usahawan itu tidak menyangka lagu yang dirakamkan atas dorongan rakan mendapat maklum balas memberangsangkan dalam tempoh lima hari di laman sosial.

"Saya bersyukur kerana lagu yang direalisasikan tahun lalu dengan dilengkapi video muzik memancing perhatian peminat muzik. Ramai memberi sokongan dan semangat. Terima kasih kerana menyukai lagu ini.

"Biar pun asalnya projek ini hanya suka-suka selepas penulis liriknya yang juga teman baik saya, Shah Shamshiri memberi saranan tampil bersama single, kami tetap merealisasikan Sayangi Dirimu sebaik mungkin demi kepuasan semua," katanya di sini hari ini.

Selebriti berusia 31 tahun itu yang berhasrat menerbitkan album sulung juga kini dalam perbincangan untuk bekerjasama dengan penyanyi Singapura, Taufik Batisah bagi pembikinan single kedua yang dijadualkan Jun ini.

"Saya memang mahu menghasilkan sebuah album tetapi enggan tergesa-gesa. Biarlah ia dilakukan dengan teliti kerana pada masa sama saya perlu mengatur waktu untuk kerjaya lakonan, bisnes dan sebagainya," katanya.

Terkini, bintang Pisau Cukur dan Manisnya Cinta Di Cappadocia itu bakal muncul dalam penerbitan terbaharu sentuhan Osman Ali bergandingan dengan Keith Foo serta Farid Kamil.

Mengikut Fazura, single itu dipersembahkan sebagai suatu penzahiran terima kasih kepada peminat yang sering menyokong kariernya.

Lagu Sayangi Dirimu mempunyai ciri unik dengan tempo dan muzik 'catchy' yang membuatkan pendengar senang menerima lagu ini.

Sayangi Dirimu edaran Warner Music (M) Sdn Bhd boleh dimuat turun menerusi iTunes, KKBox, Deezer dan juga Spotify.

Berita Harian X