Ahad, 26 April 2015 | 12:07am
SENI Tenunan Kain Pua yang diusahakan oleh Meria Kaya dari Rumah Panjang Jinga Sungai Lengan Sibu. - Foto Nadim Bokhari
KEHALUSAN tenunan kain pua memikat hati orang luar menjadikan permintaannya agak tinggi tetapi pengeluarannya terhad kerana masih menggunakan alat tradisional. - Foto Nadim Bokhari

Kain pua dihasilkan secara moden


KAIN pua yang dikenali sebagai selimut atau disebut kumbu yang menjadi hasil kerja tangan paling terkenal dalam kalangan masyarakat Iban. - Foto Nadim Bokhari

DIHUNI pelbagai kaum dan sub-etnik, Sarawak sememang terkenal dengan kepelbagaian produk kraftangan yang bukan sahaja unik dan menarik, malah halus seni buatannya hingga dikagumi pelancong dari seluruh dunia.

Satu daripada produk tradisi buatan masyarakat pribumi Sarawak adalah kain pua yang dikenali sebagai selimut atau disebut kumbu yang menjadi hasil kerja tangan paling terkenal dalam kalangan masyarakat Iban.

Keistimewaan dan kehalusan tenunan kain pua ini memikat hati orang luar menjadikan permintaannya agak tinggi tetapi kemampuan untuk menghasilkan dalam jumlah yang banyak oleh penenun masih terhad kerana mereka menggunakan alat tradisional.

Jika dulunya penenun kain pua menggunakan alat tradisional, kini alat itu sudah melalui proses perubahan baharu melalui inovasi dijalankan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKMM) Sarawak.

PKMM Sarawak mengambil inisiatif menukar kaedah tradisional kepada moden yang lebih sistematik dari segi keselesaan seterusnya membantu meningkatkan hasil pengeluaran.


KAIN pua adalah produk tradisi buatan masyarakat pribumi Sarawak. - Foto Nadim Bokhari

Pengarahnya, Azran Arip, berkata idea bagi menghasilkan alat penenun moden itu tercetus melalui projek yang dijalankan pihaknya pada 2009 dalam Pertandingan Inovasi Peringkat Kementerian Pembangunan Usahawan untuk mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi penenun yang menggunakan alat tradisional.

"Kita mendapati proses pengeluaran kain pua adalah terhad disebabkan kedudukan penenun kurang selesa ketika menggunakan alat penenun tradisional yang memerlukan mereka duduk secara berlunjur di lantai memandangkan badan berfungsi untuk menegangkan benang.

"Berdasarkan kajian yang dibuat pada alat baru berkenaan, ia dapat menghasilkan kain pua dalam tempoh seminggu mengikut saiz kecil berbanding alat tradisional yang mengambil masa tiga minggu atau lebih bagi saiz yang sama," katanya ketika ditemui di Petra Jaya.


ALAT tenunan tradisional memerlukan penenun melalui banyak proses seperti mengikat, mewarna, menegang benang sebelum ditenun bagi memastikan kain pua berkualiti tinggi dan tahan lama. - Foto Nadim Bokhari

Azran berkata, pihaknya menyediakan program latihan kepada penenun kain pua yang ingin menukar kaedah tenunan mereka dengan menggunakan alat tenunan moden terbabit yang dilaksanakan secara berperingkat ke seluruh negeri.

"Setakat ini, kita menghasilkan sebanyak 20 unit peralatan itu, termasuk prototaip, dengan 10 daripadanya sudah diagihkan kepada pengusaha di Kuching dan Sibu di bawah skim bantuan PKMM," katanya.

Bagi Merai Kaya, 56, yang berkecimpung dalam bidang tenunan itu sejak 14 tahun lalu, penggunaan alat tenunan moden itu turut membantu penenun kain pua sepertinya bagi meningkatkan produktiviti, selain mempelbagaikan produk dihasilkan, termasuk kain sarung, baju kurung, alas pinggan dan meja, begitu juga pelbagai bentuk cenderamata eksklusif.


MERIA Kaya dari Rumah Panjang Jinga Sungai Lengan Sibu. - Foto Nadim Bokhari

"Pada awalnya saya agak kekok menggunakan alat itu kerana kedudukan penenun berbeza iaitu duduk di bahagian depan berbanding sebelum ini yang terpaksa berlunjur.

"Dengan peralatan baharu ini, tempoh penghasilan kain pua semakin singkat kerana bergantung kepada kekerapan ia dihasilkan. Sekiranya dibuat setiap hari, ia akan mengambil masa tiga bulan menggunakan alat tradisional, namun menggunakan alat baru ini, ia dapat dihasilkan dalam tempoh sebulan," katanya.

Berasal dari Kampung Sungai Lengan, Sibu, Merai menyatakan alat tenunan tradisional memerlukan penenun melalui banyak proses seperti mengikat, mewarna, menegang benang sebelum ditenun bagi memastikan kain pua berkualiti tinggi dan tahan lama.

"Alat tenunan moden ini bukan saja tidak menyakitkan pinggang disebabkan penggunaan kaki serta postur badan yang lebih selesa, malah ia juga tidak perlu melalui banyak proses, sekali gus menyebabkan penggunaannya lebih fleksibel.  

"Penggunaan fleksibel ini menyebabkan alat itu dapat menghasilkan pelbagai jenis corak baharu yang lebih kreatif, sekali gus menjadi penjana idea kepada penenun dalam penghasilan kain pua berbentuk moden," katanya.

Berita Harian X