Ahad, 26 April 2015 | 11:23pm
PEMAIN NS Matrix, Francis Forkey Doe diasak tiga pemain JDT II, Hasbullah Abu Bakar (tengah), Nicolas Delmonte (kanan) dan Izuan Jarudin pada perlawanan Liga Perdana, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi. - Foto Hazreen Mohamad

Liga Perdana: DRB-HICOM ikat Pulau Pinang; NS Matrix benam JDT II

KUALA LUMPUR: Hajat Pulau Pinang untuk meraih tiga mata penuh bagi merampas kedudukan tangga ketiga Liga Perdana daripada Sabah tidak kesampaian apabila mereka sekadar seri 1-1 dengan DRB-HICOM di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam ini.

Pada satu lagi perlawanan, Negeri Sembilan (NS) Matrix berjaya naik ke tangga kelima liga selepas menewaskan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Di Melaka, DRB-HICOM terlebih dulu di hadapan seawal minit ke-10 menerusi jaringan Ahmad Aminuddin Shaharudin tetapi Pulau Pinang berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Lee Gil-Hoon, minit ke-64.

Usaha Pulau Pinang untuk menambah jaringan selepas itu tidak berhasil untuk mereka terpaksa berpuas hati sekadar mencuri satu mata dari gelanggang lawan.

Di Paroi, tuan rumah NS Matrix mendahului menerusi Francis Forkey Doe pada minit ke-42 tetapi JDT II pantas menyamakan kedudukan hasil jaringan Nicolas Delmonte, minit ke-44.

Gol kemenangan NS Matrix dijaringkan Jean Alexandre pada minit ke-62.

Selepas sembilan perlawanan, kecuali Pulau Pinang dan NS Matrix yang kurang satu perlawanan, T-Team terus unggul di tangga teratas Liga Perdana menerusi 20 mata diikuti Kedah (18), Sabah (16), Pulau Pinang (15) dan NS Matrix (14) untuk lima kedudukan teratas.

Berita Harian X