Isnin, 27 April 2015 | 12:20am
PELAWAK, Jihan Muse dan Ungku Hariz pada malam kemuncak ABPBH 2014 di Genting Highlands. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Jihan mahu kahwin selepas impian tersasar dua kali

KUALA LUMPUR: Selepas Sharifah Sakinah selamat berkahwin Mac lalu, giliran siapa pula yang bakal menyusul di kalangan teman baiknya seperti Tasha Shilla, Marsha, Elfira Loy, Siti Saleha, Anzalna, Sherry Alhadad atau Jihan Muse.

Kalau ikut cerita sebelum ini, Tasha sepatutnya mengikuti jejak Sakinah. Namun seperti sedia maklum, cintanya dengan peninju Muay Thai sudah berakhir.

Marsha, Anzalna dan Siti Saleha seperti diketahui ramai memang sudah memiliki yang istimewa. Elfira pula sering dikaitkan dengan aktor Seberang, Baim Wong manakala Sherry jarang menerima tempias gosip cinta.

Tak ketinggalan Jihan juga memang akrab dengan pelakon Ungku Hariz Faizal Ungku Mohamed Fadli.

Bertemu pemenang Artis Komedi Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2013, baru baru ini, di Talent Lounge, Damansara ketika sidang media program masakan Aku Yang Masak Kau Yang Panas terbitan Padusi Pictures Sdn Bhd, Jihan yang bertindak sebagai hos program berkenaan sempat ditanya mengenai perancangan lanjut mengenai masa depannya bersama Ungku Hariz.

"Bagai ada pertaruhan pula, siapa gamaknya yang akan ke jinjang pelamin selepas Sakinah. Setakat ini, kumpulan pengapit perkahwinan Sakinah

(Tasha Shilla, Marsha, Elfira Loy, Siti Saleha, Anzalna, Sherry Alhadad atau Jihan Muse) memang kami sendiri tak tahu siapa punya giliran akan menyusul untuk berkahwin.


AKSI Jihan Muse (kiri) dan Ungku Hariz pada ABPBH 2014 di Genting Highlands. - Foto Adi Safri

"Memang tak tahu siapa yang akan kahwin dahulu. Tapi kalau masing-masing ada seru, insya-Allah adalah itu. Tapi, apa yang saya tahu kalau ada yang merancang ke arah itu, memang tak ada lagi dalam kalangan kami. Macam di pihak saya pun belum ada perancangan. Komitmen kerja saya padat hingga hujung tahun.

"Kalau terjadi hal yang diharapkan itu, insya-Allah saya pasti akan beritahu dan sama sekali tak akan menyembunyikan berita perkahwinan. Jodoh itu rahsia Tuhan. Saya tak pernah letakkan sasaran bila harus berkahwin. Pernah sasar nak kahwin umur 23 tahun dan kemudian 27 tahun tapi belum jadi kenyataan juga. Sekarang, saya sudah 32 tahun dan tak letak lagi sasaran berkahwin," katanya.

Jihan dan Ungku Hariz berkawan rapat hampir lapan tahun. Jihan sebenarnya bijak menyembunyikan kisah cintanya cuma kebelakangan ini sahaja dia dan cinta hatinya itu berani tampil di khalayak termasuk menghadiri acara hiburan tanah air seperti ABPBH 2014 dan Anugerah Meletop. Ditanya mengenai pendiriannya terhadap kisah peribadi, Jihan mempunyai pandangannya tersendiri.

"Saya selesa untuk tidak menyorokkan hubungan kami. Tapi tidaklah terlalu terbuka nak tayang kisah peribadi hingga menenggelamkan kisah kerjaya. Yang nampak, yang tahu... tahulah kami bersama contohnya seperti di laman Instagram. Saya sendiri lebih utamakan kerja kerana peminat nak tengok pun hasil kerja kita dan kisah peribadi itu bersifat sampingan," katanya.

Ditanya mengenai Ungku Hariz, Jihan menyifatkan lelaki itu antara individu yang paling akrab di sisinya.

"Boleh katakan banyak persamaan antara kami. Kami banyak berkomunikasi dalam soal membabitkan kerja seni juga. Saya akan minta pendapat serta bantuan dia mengenai hal seni dan kebetulan dia juga berlakon," katanya.

Bermula sebagai pelakon teater sebelum menyertai pertandingan Raja Lawak, Jihan akui rezekinya kini banyak terarah kepada dunia pengacaraan. Tapi itu tidak bererti, dia tidak mahu berlakon lagi.

"Minat dan permulaan kembara seni bermula atas tiket pelakon. Tapi Alhamdulillah akhir-akhir ini saya banyak diberi peluang mengacara. Ia umpama cabang baharu yang saya tengah suka buat. Tapi banyak lagi benda yang harus saya belajar. Kerana terlalu fokus mengacara, saya terpaksa selektif dalam soal berlakon yang tidak memerlukan komitmen masa yang panjang," katanya.


PELAKON dan pelawak, Jihan Muse. - Foto Nashairi Mohd Nawi

Mengenai program Aku Yang Masak Kau Yang Panas terbitan syarikat milik Rozita Che Wan itu, ia bukan kerjasama yang pertama dijalinkan Jihan bersama Padusi Pictures. Jihan pernah mengacarakan program berbentuk masakan juga bersama syarikat itu iaitu menerusi program Resipi Memikat Suami.

"Ia bukan sekadar program memasak kerana banyak drama, konflik dan kekecohan yang akan terjadi. Artis yang terbabit pun memang sangat 'drama'," katanya yang pernah mengacarakan konsert Gegar Vaganza dan Akademi Fantasia 2014.

Aku Yang Masak Kau Yang Panas diterbitkan sebanyak 13 episod berdurasi selama 30 minit setiap satu akan mula bersiaran 30 April ini di saluran Astro Ria dan Astro Maya HD. Peserta dalam kalangan artis yang terbabit ialah Michael Ang, Dafi AF4, Hefny Sahad (On Air), Marsha Milan, Sharifah Sakinah, Keith Foo, Sharifah Shahora, Nadiya Nissa, Azwan Ali, Amelina, Syuk Balas dan Ieda Moin

Program realiti masakan ini menggunakan format perlawanan liga dan sistem pemarkahan. Dua belas selebriti bertanding dalam tiga segmen atau cabaran untuk memenangi hadiah utama iaitu RM20,000 tunai dan sebuah trofi. Program ini dihoskan oleh Jihan Muse bersama Chef Adu serta seorang artis jemputan atau selebriti chef pada setiap minggu. Juri akan membuat anggaran siapa yang bakal tersingkir dan siapa yang akan meneruskan cabaran. Peserta yang mendapat markah terendah dari segi rasa, teknik, penyampaian dan kreativiti bakal disingkir daripada program.

Info Jihan Muse
* Berusia 32 tahun
* Nama penuh, Nuur Jihan Musa
* Dicungkil bakatnya dari Raja Lawak musim ketiga
* Menang Artis Komedi Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2013

Berita Harian X