Khamis, 30 April 2015 | 8:38pm

Pembenihan awan di Johor diteruskan

PENGARAH Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ), Abdul Rashid Abd Rahman. - Foto ihsan BAKAJ
PENGARAH Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ), Abdul Rashid Abd Rahman. - Foto ihsan BAKAJ

JOHOR BAHRU: Pembenihan awan yang dilakukan Jabatan Meteorologi Johor sejak dua hari lepas berjaya menghasilkan hujan bagi menampung kekurangan air di 15 empangan di negeri ini.

Pengarah Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ), Abdul Rashid Abd Rahman, berkata pembenihan awan menerusi kaedah 'hygroscopic flare' atau 'dry seeding' menggunakan pesawat Cessna itu diteruskan hari ini berikutan keadaan awan yang sesuai dan udara yang lembap.

"Kawasan tumpuan kami meliputi utara Johor (utara Kluang) sehingga Johor Selatan memandangkan paras air di beberapa empangan utama menyusut dan hujan tidak turun di kawasan tadahan hujan.

"Proses (pembenihan) ini dilakukan pada keadaan sesuai iaitu pada peralihan monsun timur laut ke monsun barat daya, awan sesuai iaitu jenis 'Towering Cumulus' serta udara lembap yang mempunyai kandungan wap air yang tinggi," katanya pada taklimat ringkas pembenihan awan di Terminal Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, di sini, hari ini.

Abdul Rashid berkata, keseluruhannya, pihaknya perlu melakukan 10 kali operasi pembenihan awan bagi meningkatkan sekurang-kurangnya 30 peratus tahap air di semua empangan berkenaan dengan baki lapan pembenihan lagi akan dilakukan dari semasa ke semasa bergantung keadaan cuaca.

Beliau berkata, Empangan Sultan Iskandar, di sini, yang membekalkan air kepada 140,000 akaun pengguna di bandar raya Johor Baharu dan Pasir Gudang mampu bertahan sehingga 72 hari dan ia mencatatkan paras 20.96 meter hari ini berbanding paras kritikal 23.5 meter.

Katanya, Empangan Sungai Lebam, Kota Tinggi yang membekalkan air kepada 14,000 akaun pengguna sekitar Pengerang, Kota Tinggi pula mampu bertahan sehingga 97 hari dan mencatatkan paras 12.27 meter hari ini berbanding paras kritikal 10.5 meter.

Menurut Abdul Rashid, Empangan Congok, Mersing yang membekalkan air kepada 3,300 akaun pengguna sekitar Tenglu, Mersing pula mampu bertahan sehingga 47 hari dan mencatatkan paras 4.5 meter hari ini iaitu mencapai paras kritikal.

"Kerja-kerja pembenihan awan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Syarikat Air Johor Holdings (SAJH) itu memakan masa tiga jam setiap kali dilakukan. Hujan kemudian turun kira-kira 20 minit selepas kerja pembenihan selesai dilakukan," katanya.

Pengarah Jabatan Meteorologi Johor, Amirzudi Hashim, berkata 12 suar akan dipasang pada pesawat Cessna setiap kali pembenihan awan itu dengan setiap suar mengandungi kandungan natrium klorida, magnesium oksida serta helium klorida.

Katanya, keseluruhan kos pembenihan berkenaan bernilai RM300,000 menggunakan peruntukan Tabung Bencana Negeri Johor.

- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X