Isnin, 8 September 2014 | 6:28pm

APMM tahan tiga nelayan asing tangkap ikan di Langkawi

LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan tiga nelayan asing yang didapati menangkap ikan di perairan negara berhampiran Tanjung Langgun dekat sini, awal pagi semalam.

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah, Kapten Zulkarnain Mohd Omar, berkata mereka diberkas susulan pemeriksaan ke atas sebuah bot pukat tunda dalam operasi jam 1 pagi.

"Sepasukan anggota APMM diketuai Leftenan Maritim Abdul Hamid Abdullah mengesan sebuah bot sedang leka memukat ikan dalam keadaan mencurigakan kira-kira tiga batu nautika dari Tanjung Langgun.

"Setelah diperiksa, didapati bot itu didaftarkan di negara jiran. Terdapat tiga awak-awak berusia antara 27 hingga 54 tahun disyaki berasal dari Thailand," katanya.

Zulkarnain berkata, siasatan juga mendapati semua nelayan yang ditahan itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

"Ketiga-tiga nelayan asing itu akan didakwa mengikut Seksyen 15(1)(A) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran.

"Bot dan nelayan terbabit tditunda oleh bot peronda KM Sugut ke pangkalan Daerah Maritim 1 di Bukit Malut di sini untuk tindakan lanjut," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, APMM akan terus mengadakan operasi dari semasa kesemasa untuk membanteras kegiatan penangkapan ikan secara tidak sah di perairan pulau pelancongan ini.

Berita Harian X