Isnin, 8 September 2014 | 8:14pm

Konsulat Malaysia bantu pelajar terkandas akibat banjir di India

NEW DELHI: Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai, Tamil Nadu sedang membantu 29 pelajar perubatan Malaysia yang terkandas di Jammu dan Kashmir akibat banjir.

Konsul Jeneral Malaysia, Chitra Devi Ramiah berkata, pelajar berkenaan ke negeri berkenaan sempena cuti semester mereka.

"Kami telah menghubungi mereka melalui media sosial, rakan-rakan dan sesetengahnya secara terus. Kesemuanya selamat," katanya kepada Bernama ketika dihubungi Isnin.

Beliau berkata pelajar itu, yang terdiri daripada 13 wanita dan 16 lelaki, terkandas di Srinagar dan Pahalgam.

Daripada 29 pelajar perubatan di negeri-negeri selatan itu, seramai 28 orang ialah pelajar tajaan kerajaan.

"Kami telah menghubungi polis dan Menteri Hal Ehwal Luar. Kami bekerjasama rapat dengan jabatan-jabatan berkaitan untuk membantu pelajar kita meninggalkan lokasi berkenaan dengan selamat," kata Chitra.

Sehubungan itu, konsulat berkenaan juga sudah meminta bantuan pihak berkuasa India untuk menjejaki 10 pelajar Malaysia yang menuntut di Kampus Perubatan Manipal selepas gagal dihubungi keluarga sejak Jumaat lalu berikutan banjir buruk melanda wilayah Jammu Kashmir.

Sepuluh pelajar berkenaan termasuk Siti Azarai, Hayati Nasir, Nurhakimah Azhar, Nik Salmiyah Nik Ideris, Norhasmidawati Manan, Fatin Najwa, Baiti Omar, Nur Izzati, Amirah Eddy serta Ummi Razak.

Kementerian Luar Malaysia menyatakan pelajar dari Kampus Perubatan Manipal di negeri Karnataka, kebanyakannya ditaja oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan MARA.

Kementerian itu mengulangi bahawa adalah penting bagi pelajar Malaysia di seberang laut supaya sentiasa menghubungi kedutaan Malaysia di negara masing-masing serta melaporkan perjalanan mereka keluar dari negeri berkenaan.

Ini akan membantu kedutaan menyediakan bantuan konsulat bagi rakyat Malaysia di seberang laut.

Banjir yang melanda kawasan Himalaya - yang paling buruk sejak tempoh 50 tahun lepas - telah mengorbankan 150 orang setakat ini.

Perdana Menteri India Narendra Modi, yang meninjau dari udara keadaan di kawasan-kawasan yang dilanda banjir pada Ahad, telah mengisytiharkan banjir sebagai bencana negara.

Beliau juga mengumumkan bantuan projek khas tambahan sebanyak Rs1000 crore (AS$166 juta) untuk banjir dan pemulihan.

Pada mulanya, sebanyak Rs1100 crore (AS$183 juta) disalurkan kepada kerajaan negeri melalui Dana Bantuan Bencana Negeri.

Keutamaan diberikan kepada usaha membaiki berpuluh-puluh jambatan yang musnah serta rangkaian komunikasi, umum kerajaan India. - BERNAMA

Berita Harian X