Isnin, 8 September 2014 | 9:45pm
REAKSI penuh gembira bintang Jepun, Kei Nishikori sejurus menewaskan pemain Serbia, Novak Djokovic di separuh akhir Terbuka AS.
JAGUH Serbia yang juga pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic (kiri) mengucapkan tahniah kepada Kei Nishikori sejurus pemain Jepun itu menewaskannya.

Langkah Nishikori ke final bermula 10 tahun lalu

NEW YORK: Perjalanan Kei Nishikori ke final Terbuka Amerika Syarikat (AS), awal pagi ini bermula sedekad lalu, apabila bakatnya dikesan ketika remaja di Jepun dan dijemput ke Florida untuk menyertai akademi tenis.

Nishikori, 24 menjadi antara pemain yang memperoleh faedah daripada projek bagi meningkatkan kualiti permainan tenis di Jepun yang dibiayai bekas Eksekutif Sony, Masaaki Morita.

"Kei hanya 14 tahun ketika itu, dan dia tidak mampu bertutur sepatah pun perkataan Inggeris," kata bekas bintang yang tersenarai dalam Dewan Kemasyhuran Tenis Antarabangsa, Nick Bollettieri yang pernah melatih beberapa bintang seperti Andre Agassi, Boris Becker, Jim Courier dan Monica Seles.

"Dia seorang yang berbakat. Kepantasan yang menakjubkan. Mata yang hebat."

POSTER jaguh Jepun, Kei Nishikori (tengah) berada sebaris dengan bintang tenis dari Switzerland, Roger Federer di sebuah kedai di Tokyo. Nishikori bertambah popular di negaranya selepas mara ke final Terbuka AS dan menjadi pemain Asia pertama mara ke final perseorangan Grand Slam.

Ketika Nishikori berusaha untuk mendaki kedudukan ranking dunia selepas muncul pemain profesional pada 2007, dia menjadi amat terkenal di Jepun yang mengurangkan minatnya untuk sentiasa berada di Florida.

Pada satu kejohanan yang disertainya di Jepun, tiket bagi menyaksikan perlawanan itu habis dalam tempoh beberapa jam.

Dan kini, Nishikori menjadi pemain pertama dari Asia yang berjaya melangkah ke final kejohanan Grand Slam dalam kategori perseorangan dan profil yang dimiliki serta semua semangat yang ditampilkan, memberi petunjuk dia terus meningkat.

POSTER jaguh Jepun, Kei Nishikori (tengah) berada sebaris dengan bintang tenis dari Switzerland, Roger Federer di sebuah kedai di Tokyo. Nishikori bertambah popular di negaranya selepas mara ke final Terbuka AS dan menjadi pemain Asia pertama mara ke final perseorangan Grand Slam.

Lawan yang bakal menantinya di final ialah jaguh Croatia, Marin Cilic yang tidak kurang hebatnya namun kejayaan Nishikori meletakkan satu tanda aras baharu buat pemain dari benua ini.

"Ketika dia memenangi kejohanan pertamanya ketika usia 17 atau 18, ia sudah nampak seperti terlalu pantas, mungkin terlalu awal," kata ejen Nishikori, Olivier Van Lindonk.

"Mereka begitu tertarik dengan wira mereka dan mahu tahu segala-galanya. Saya pernah mendengar banyak soalan mengenai seperti, bila dia makan? bila dia masuk tidur?," katanya.

Nishikori mencatat kemenangan mengejutkan 6-4, 1-6, 7-6 (4), 6-3 ke atas pilihan pertama dan juara tujuh kali Grand Slam, Novak Djokovic di separuh akhir ketika waktu di Jepun 1 pagi namun ramai yang masih menyaksikan perlawanannya.

Sejurus perlawanan berakhir, Nishikori memberitahu penonton di Stadium Arthur Ashe: "Saya harap ia berita yang besar di Jepun... Ia 4 pagi namun saya berharap ramai menyaksikan perlawanan ini."

Dan mereka melakukannya. Sejurus dia membuka telefon bimbitnya, Nishikori menerima lebih 20 mesej daripada keluarganya malah ratusan meraikan kemenangannya di tempat kelahirannya, Matsue, pekan kecil yang memiliki populasi kurang 200,000 penduduk.

Kejayaan ke final juga akan terus memberatkan poket Nishikori yang sudah pun memperoleh jutaan ringgit hasil penajaan beberapa jenama besar sejak bergelar pemain di ranking 10 terbaik dunia.

JURULATIH Kei Nishikori, Michael Chang (kanan) dan Dante Bottini ketika meraikan kemenangan pemain bimbingannya menentang pilihan utama dari serbia, Novak Djokovic dan mara ke final Terbuka AS.

Namun daripada semua itu, apa yang paling penting baginya ialah impak yang mampu dicetuskan kepada negaranya dan Asia.

"Saya berharap lebih ramai kanak-kanak mula bermain tenis," katanya. "AS mempunyai rasa hormat yang tinggi dengan sukan ini, namun tidak di Jepun. Saya berharap saya mampu memberi sedikit perubahan." - AP

Info

Laluan Nishikori ke final

- Separuh akhir: Tewaskan pilihan pertama, Novak Djokovic 6-4, 1-6, 7-6(7-4), 6-3

- Suku akhir: Tewaskan pilihan ketiga, Stan Wawrinka, 3-6, 7-5, 7-6(9-7), 6-7(5-7), 6-4

- Pusingan empat: Tewaskan pilihan kelima, Milos Raonic, 4-6, 7-6(7-4), 6-7(6-8), 7-5, 6-4

- Pusingan tiga: Tewaskan Leonardo Mayer, 6-4,6-2,6-3

- Pusingan dua: Tewaskan Pablo Andujar, 6-4,6-1 (tarik diri)

- Pusingan pertama: Tewaskan Wayne Oesnik, 6-2,6-4,6-2

Berita Harian X