Sabtu, 2 Mei 2015 | 8:15pm

Bayi lapan bulan maut dipercayai didera

ALOR SETAR: Seorang bayi lelaki berusia lapan bulan maut di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) petang tadi selepas disyaki didera ibu dan bapa angkatnya di rumah mereka di Taman Rasa Sayang, Jitra, dekat sini.

Difahamkan mangsa, Muhamad Ammar Abdul Aziz disahkan meninggal dunia pada jam 4.04 petang tadi selepas menerima rawatan di HSB akibat mengalami sawan dan tidak sedarkan diri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Nashir Ya yang mengesahkan kejadian berkata, semasa pemeriksaan dibuat di hospital terdapat beberapa kesan lebam di bahagian kepala, badan dan kaki bayi itu.

Beliau berkata, tulang selangka kiri mangsa juga didapati patah selain paha kanannya terdapat kesan luka lama.

Katanya, berikutan kejadian itu pasangan suami isteri berusia 30 dan 40 tahun yang dipercayai ibu-bapa angkat mangsa ditahan polis pada jam 6.45 petang tadi di rumah mereka.

Berita Harian X