Isnin, 4 Mei 2015 | 3:27pm

Lokasi kahwin Lana Nodin, Daud bertukar

LANA Nodin bersama bakal suaminya, David McKienzie atau nama Islamnya, Mohd Daud Mckienzie. - Foto ihsan Instagram Lana Nordin

KUALA LUMPUR: Sewaktu sidang media pertama mengenai hari perkahwinan Lana Nodin termasuk memperkenalkan bakal suaminya, David McKienzie atau nama Islamnya, Mohd Daud Mckienzie, lokasi majlis hari bersejarahnya sudah dicanang akan diadakan di Hotel Istana.

Bagaimanapun baru-baru ini Lana memberitahu lokasi perkahwinannya sudah berubah.

Sejak sebulan lalu, Lana menerusi teman baiknya berjaya mendapatkan tajaan Hotel Palace Of Golden Horses, Seri Kembangan.

Bererti majlis yang dirancang seperti berinai, akad nikah dan persandingan Lana dan Daud akan diadakan di hotel berkenaan.

Lana akan berkahwin dengan jejaka tinggi lampai yang juga pemain bola tampar Amerika Syarikat itu pada 15 Mei.

"Biarpun perubahan ini berlaku pada saat akhir, saya tetap menerima ini semua dengan hati terbuka. Lagipun tajaan ini lebih baik selain lokasi yang strategik. Malah tema perkahwinan moden ala Inggeris juga boleh direalisasikan di sini," katanya kepada BH Online.

Betapa bertuahnya Lana kerana difahamkan perkahwinannya mendapat 90 peratus tajaan daripada pihak yang sudi menajanya. Bagi Lana, dia menerima segala bentuk tajaan ini dengan hati terbuka.

"Kalau ada yang nak menaja, kenapa perlu saya menolak rezeki yang datang. Daripada pihak saya, diri ini lebih suka bersederhana. Lebih penting untuk saya ialah dapat memikirkan kelangsungan hidup selepas perkahwinan," katanya.

Setakat ini, Lana memberitahu segala persiapan berjalan lancar dan seadanya.

"Cuma ada beberapa hal seperti yang membabitkan urusan agama masih belum selesai contohnya seperti perkara membabitkan masjid dan tok kadi untuk pernikahan nanti.

"Tapi mujur saya dibantu teman baik, Lisdawati yang banyak membantu dalam soal berkaitan agama. Untuk tiga majlis saya iaitu malam berinai, nikah dan sanding akan menggunakan tiga pakar dekorasi yang berbeza," katanya.

Majlis berinai akan diadakan sehari sebelum pernikahan berlangsung 14 Mei. Keesokan paginya sekitar jam 10.30 pagi, majlis nikah akan diadakan dan diikuti persandingan pada sebelah malam.

Lana turut memberitahu yang dia akan ke Amerika Syarikat sekitar Jun depan kerana menemani bakal suaminya yang terikat dengan komitmen kerja.

"Sebelum ke Amerika Syarikat, kami akan ke Manila dahulu. Mungkin juga sebelum ke Amerika Syarikat, saya mahu dia (bakal suami) merasai pengalaman sambut puasa di Malaysia. Jadi setidak-tidaknya saya masih dapat berjumpa keluarga dahulu kerana raya nanti memang saya akan ada di Amerika.

"Saya akan berada di Amerika sekitar dua atau tiga bulan bergantung kepada jadual kerjanya. Insya-Allah saya bercadang nak ambil kelas lakonan sepanjang berada di sana. Malah Daud turut memberitahu yang akan diadakan juga majlis meraikan kami di sana membabitkan teman dan ahli keluarganya," kata Lana.

Berita Harian X