Ahad, 10 Mei 2015 | 12:02am
SALASILAH keluarga Allahyarham Tun Hussein Onn di Memorial Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur. - Foto Aziah Azmee
SALASILAH keluarga Allahyarham Tun Hussein Onn di Memorial Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur. - Foto Aziah Azmee
PAPAN informasi yang ditempatkan di Memorial Tunku Abdul Razak. - Foto Aziah Azmee
PAPAN informasi yang ditempatkan di Memorial Tunku Abdul Razak. - Foto Aziah Azmee
KOLEKSI gambar Allahyarham Tunku Abdul Rahman bersama adik-beradiknya di Memorial Tunku Abdul Rahman. - Foto Aziah Azmee
KOLEKSI gambar Allahyarham Tunku Abdul Rahman bersama adik-beradiknya di Memorial Tunku Abdul Rahman. - Foto Aziah Azmee

Memorial bekas PM yang sepi

[email protected]

UKIRAN gambar Tunku Abdul Rahman di Memorial Tunku Abdul Rahman. - Foto Aziah Azmee
UKIRAN gambar Tunku Abdul Rahman di Memorial Tunku Abdul Rahman. - Foto Aziah Azmee

RAMAI yang terlupa atau terlepas pandang kewujudan kediaman bekas Perdana Menteri kita di Kuala Lumpur.

Dalam setiap memorial, tersingkap pelbagai peristiwa, dokumen dan koleksi barangan peribadi milik keempat-empat Perdana Menteri yang dipamerkan untuk tatapan umum.

Kedudukannya pula tidaklah terlalu jauh antara satu sama lain.

Kurangnya hebahan, aktiviti dan publisiti yang meluas menyebabkan memorial ini sepi. Ada yang teragak-agak untuk berkunjung ke sini.

Ayuh sama-sama mengenali dan seterusnya mengunjungi memorial pemimpin yang banyak berjasa kepada negara kita.

GAMBAR Tunku Abdul Rahman di Memorial Tunku Abdul Rahman. - Foto Aziah Azmee
GAMBAR Tunku Abdul Rahman di Memorial Tunku Abdul Rahman. - Foto Aziah Azmee

Memorial Tunku Abdul Rahman Putra

Menyusuri sejarah silam membawa pengunjung menghayati perit getir perjuangan pemimpin terdahulu dalam menuntut dan mempertahankan kemerdekaan.

Pengisytiharan kemerdekaan di Padang Pahlawan, Melaka, yang menitiskan air mata seluruh penduduk Tanah Melayu pada waktu itu, bagaikan ulang tayang filem menerusi kunjungan ke Memorial Tunku Abdul Rahman Putra.

Ditubuhkan khusus mengenang jasa Bapa Kemerdekaan, tiga bangunan digabungkan bagi mempamerkan warisan berkaitan Tunku meliputi dokumen, gambar, hadiah, keratan akhbar, pakaian, malah perabot digunakan ketika pentadbirannya.

Menjadikan kita terasa lebih mendekati peribadi Tunku, pameran disediakan mengikut tema bermula dengan usaha beliau mendapatkan kemerdekaan, biografi, falsafah dan konsep yang menjadi pegangannya di samping tarikan istimewa, bangunan residensi berusia lebih 120 yang pernah menjadi kediaman Tunku dari tahun 1956 hingga 1970.

Menariknya, seni bina bangunan dan hiasan dalaman bangunan itu langsung tidak diusik, sama seperti pejabat pentadbirannya yang mengekalkan susun atur asal.

KOLEKSI kenderaan yang dipamerkan di Memorial Tunku Abdul Rahman. - Foto Aziah Azmee
KOLEKSI kenderaan yang dipamerkan di Memorial Tunku Abdul Rahman. - Foto Aziah Azmee

Turut dipamerkan, kenderaan rasminya, kereta Cardillac Fleetwood 1959, diimport dari Amerika Syarikat di samping 'kereta kemerdekaan' model Nash Rambler Custom Convertible 1951, yang dinaikinya bersama Tun Tan Cheng Lock dan Datuk Panglima Bukit Gantang, Toh Muda Abdul Wahab Abdul Aziz ketika Majlis Sambutan Kepulangan Rombongan Merdeka dari London, di Padang Bandar Hilir, Melaka pada 20 Februari 1956.

Selaku generasi selepas merdeka, penulis akui gagal menelah pemikiran dan prinsip Almarhum Tunku, namun berterima kasih dengan Arkib Negara yang memperuntukkan segmen khas memaparkan kata-kata amanat pemimpin berjiwa besar ini.

"Kemerdekaan itu adalah suatu benda yang tinggi harganya dan kemerdekaan itu tidak dapat dibeli dengan wang atau dengan harta benda, ialah suatu benda yang kita menuntut dengan segala kekuatan kita, hingga sekiranya kita terpaksa beli dengan nyawa sendiri."

Lokasi: Jalan Perdana, Kuala Lumpur

Waktu Lawatan: Selasa hingga Ahad (10 pagi hingga 5.30 petang), Jumaat (10 pagi - 12 tengah hari dan 3 petang hingga 5.30 petang)

PINTU masuk ke Memorial Tunku Abdul Razak. - Foto Aziah Azmee
PINTU masuk ke Memorial Tunku Abdul Razak. - Foto Aziah Azmee

Memorial Tun Abdul Razak

Memorial Tun Abdul Razak atau nama asalnya Bangunan Sri Taman tidak seratus peratus menyerupai galeri, sebaliknya lebih kepada kediaman Bapa Pembangunan itu bersama keluarganya, termasuk anak sulung, Perdana Menteri hari ini, Datuk Seri Najib.

Himpunan perabot adalah yang asal, baik sedia ada di kediaman itu mahupun diambil dari kediaman sahabatnya bagi mendapatkan semula tata hias seperti sebelumnya.

Seronok menjelajah dari satu ruang ke satu ruang yang mendekatkan pengunjung dengan aktiviti kekeluargaan di samping majlis serta urusan rasmi dianjurkan di kediaman itu.

PEJABAT Tunku Abdul Razak. - Foto Aziah Azmee
PEJABAT Tunku Abdul Razak. - Foto Aziah Azmee

Misalnya, diperuntukkan sebuah bilik mengaji untuk anak-anak beliau khatam al-Quran. Asalnya, bilik persinggahan tetamu, namun diubah suai menjadi ruang mengaji menuruti kemahuan isterinya, Tun Rahah, yang tidak membenarkan anak-anaknya melanjutkan pengajian ke luar negara terutama England selagi belum khatam al-Quran.

Turut menarik perhatian, koleksi tongkat beliau yang dipamerkan di dinding berhampiran kolam air pancut. Tongkat berkenaan sering dilihat bersama dan digunakan pemimpin berjiwa rakyat itu ketika turun menjengah kehidupan rakyat jelata.

Lokasi: Jalan Perdana, Kuala Lumpur

Waktu Lawatan: Selasa hingga Ahad (10 pagi - 5 petang), Jumaat (10 pagi - 12 tengah hari dan 3 petang - 5.30 petang)

MEMORIAL Tun Hussein Onn di Kuala Lumpur. - Foto Aziah Azmee
MEMORIAL Tun Hussein Onn di Kuala Lumpur. - Foto Aziah Azmee

Memorial Tun Hussien Onn

Di mana sahaja wujudnya ketidakadilan, di situ akan terdapat kekacauan, perasaan bermusuhan dan berpecah belah," menyelami kata-kata keramat Perdana Menteri ketiga, Allahyarham Tun Hussein Onn, hati terasa sayu pula.

Walaupun tidak sempat mengenali dan menikmati kemakmuran pentadbiran tokoh dikenali Bapa Perpaduan itu, perasaan hormat dan kagum menyelinap di sanubari ketika kronologi kisah hidupnya, termasuk latar belakang pendidikan, karier, pencapaian, hobi juga siapa beliau dalam kalangan keluarga dan rakannya, yang dipaparkan di Memorial Tun Huesein Onn.

ANTARA tarikan di Memorial Tun Hussein Onn. - Foto Aziah Azmee
ANTARA tarikan di Memorial Tun Hussein Onn. - Foto Aziah Azmee

Ruang pameran tiga aras bermula dengan pengenalan kepada Kompleks Integrasi, sejarah awal Kompleks Jabatan Perdana Menteri (JPM) hingga objektif penubuhannya yang semuanya terletak di tingkat teratas. Menuruni aras dua, menemukan pengunjung dengan biografi salasilah keluarga pemimpin itu manakala tingkat paling bawah, mengemukakan bahan berkaitan jasa serta sumbangan dicurahkannya.

Sedikit ralat kerana cermin memantulkan imej pemimpin itu rosak dan belum dibaiki begitu juga mini landskap yang membolehkan pengunjung bersantai mendengar deru air pancut sambil menyaksikan tayangan ringkas mengenai beliau.

Memorial akan dipindahkan ke tapak baharu tetapi adalah diharapkan ia menjadikan tarikan lebih menarik.

Lokasi: Jalan Datuk Onn

Waktu Lawatan: Selasa hingga Ahad (10 pagi - 5 petang), Jumaat (10 pagi - 12 tengah hari dan 3 petang - 5.30 petang)

POTRET Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Galeria Sri Perdana, Kuala Lumpur. - Foto Aziah Azmee
POTRET Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Galeria Sri Perdana, Kuala Lumpur. - Foto Aziah Azmee

Galeria Sri Perdana

Galeria Sri Perdana diduduki Tun Dr Mahathir Mohamad dari 23 Ogos 1983 hingga 18 Oktober 1999, diwujudkan bagi memperingati dan mengenang jasa 22 tahun pentadbiran pemimpin disegani itu.

Ia menampilkan konsep residensi sekali gus mengekalkan sebahagian besar ruang penting manakala selebihnya diubah suai menjadi ruang pameran.

Selain ruang lazim seperti ruang tamu, bilik tidur, bilik persalinan dan ruang dapur, pengunjung berpeluang melihat sisi lain Dr Mahathir, yang sebenarnya mahir dalam seni pertukangan tangan.

Bilik pertukangan di bahagian paling belakang dilengkapi peralatan seperti mesin, alat pertukangan selain turut mempamerkan hasil kerja tangan beliau seperti model kapal terbang, lambang kerajaan dan sebagainya.

Beliau dikatakan menghabiskan masa yang lama di bilik berkenaan untuk memenuhi hobinya, namun disebabkan kesibukan tugas dan urusan rasmi, beberapa karya kerja tangannya tidak dapat disiapkan.

RUANG makan bersama keluarga di Galeria Sri Perdana, Kuala Lumpur. - Foto Aziah Azmee
RUANG makan bersama keluarga di Galeria Sri Perdana, Kuala Lumpur. - Foto Aziah Azmee

Bagi memastikan penampilan sentiasa menarik, beliau memperuntukkan sebuah sudut khas menggunting rambut. Di sini, pengunjung dapat melihat sendiri kelengkapan dan aksesori digunakan tukang gunting dijemput dari luar menggunting rambut Perdana Menteri.

Lain-lain tarikan termasuk mini pawagam dilengkapi 32 tempat duduk serta audio visual yang menyiarkan tayangan khas 'Sehari Dalam Kehidupan Perdana Menteri', sudut koleksi topi dan kasut yang mempamerkan himpunan kenangan sesuatu majlis yang pernah dihadirinya, manakala bilik bacaan menyimpan pelbagai bahan bacaan dan rujukan dari dalam mahu pun luar negeri seperti buku, majalah, buletin dan jurnal.

Selain membaca, bilik ini turut digunakan untuk merangka dan menyediakan ucapan rasmi beliau.

TEMPAT tidur utama di Galeria Sri Perdana. - Foto Aziah Azmee
TEMPAT tidur utama di Galeria Sri Perdana. - Foto Aziah Azmee

Lokasi: Jalan Damansara, Kuala Lumpur

Waktu Lawatan: Selasa hingga Ahad (10 pagi - 5 petang), Jumaat (10 pagi - 12 tengah hari dan 3 petang hingga 5.30 petang)

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X