Khamis, 14 Mei 2015 | 2:58pm

Kes doping: IOC tarik balik pingat perak Sukan Olimpik

LOS ANGELES: Pingat perak Olimpik yang dimenangi kuartet 4x100 meter lelaki Amerika Syarikat (AS) sah ditarik balik kerana kes doping membabitkan Tyson Gay, umum Jawatankuasa Olimpik AS (USOC).

Ketua Pegawai Komunikasi USOC, Patrick Sandusky berkata Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) sudah memberitahu badan induk itu mengenai perkara terbabit dan tidak terkejut kerana ia diketahui selepas Agensi Anti Doping AS (USADA) membongkar perkara terbabit terlebih dulu.

"Seperti dijangka, berhubung keputusan USADA terhadap kes Tyson Gay, IOC mengesahkan pasukan AS digugurkan daripada acara perlumbaan 4x100 meter yang menjadi sebahagian daripada acara olahraga di Sukan Olimpik 2012 di London.

"Kami akan memulakan usaha untuk memulangkan kembali pingat yang dimenangi dan menyokong segala tindakan untuk melindungi atlet yang bersih."

Gay sudah pun memulangkan pingat dimenanginya selepas menerima kesalahan penggantungan akibat kesalahan doping pada Jun 2013.

Pelari pecut AS itu diuji positif menggunakan bahan terlarang steroid anabolik dalam dua ujian sebelum kejohanan.

Juara Dunia 2007 itu turut menerima segala hukuman termasuk pembatalan segala keputusan bermula pada tarikh 15 Julai 2012, kali pertama dia diuji positif menggunakan bahan terlarang.

Kuartet AS lain yang terpaksa melepaskan pingat masing-masing ialah Trell Kimmons, Justin Gatlin dan Ryan Bailey yang berlumba bersama Gay di final selain dua pelari ketika kelayakan, Jeffery Demps dan Darvis Patton. - AFP

Berita Harian X