Khamis, 14 Mei 2015 | 8:50pm

Media Prima raih pendapatan suku pertama RM329.39 juta

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd, kumpulan pelaburan media bersepadu terbesar tempatan meraih pendapatan RM329.39 juta dan keuntungan bersih RM19.35 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2015.

Berdasarkan perbandingan tahunan, pendapatan serta keuntungan bersih Media Prima masing-masing susut sebanyak enam peratus dan 30 peratus daripada suku sama tahun lalu.

Ia susulan persekitaran pasaran yang terus tidak menentu serta pengiklan menangguhkan perbelanjaan sebelum pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada April 2015.

Pada suku pertama 2014, Media Prima mencatat pendapatan RM351 juta manakala keuntungan bersihnya RM27.6 juta.

Media Prima sebelum itu mengumumkan bayaran dividen tunggal lima sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 yang akan dibayar pada 26 Jun ini.

Pengerusi Media Prima, Tan Sri Johan Jaaffar, berkata kumpulan menjangkakan 2015 akan menjadi satu lagi tahun mencabar dengan meningkatnya persaingan dalam industri media.

"Tambahan lagi, pelaksanaan GST baru-baru ini bukan hanya memberikan kesan ke atas perniagaan dan sentimen pasaran, malah menyebabkan pengiklan melaksanakan pendekatan 'tunggu dan lihat' dalam mengendalikan strategi pemasaran serta pengiklanan dan promosi (A&P) bagi menghadapi rejim cukai baharu itu," katanya dalam satu kenyataan sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Seri Amrin Awaluddin, berkata Media Prima menjangkakan perbelanjaan pengiklanan (ADEX) akan kekal mendatar pada 2015 apabila pelanggan membuat penyelarasan secara perlahan-lahan terhadap sistem baharu itu dan sentimen pengguna menjadi normal secara berperingkat.

Katanya, bagi berdepan dengan cabaran berkenaan, kumpulan akan meningkatkan pendapatan bukan tradisional serta mengukuhkan penguasaan pasaran dalam pendapatan iklan teras.

"Kami juga akan terus menguruskan kos dengan memantau pemacu kos utama di samping pelaksanaan inisiatif penjimatan kos di seluruh kumpulan," katanya.

Mengenai usaha menjana aliran pendapatan baharu bagi Media Prima, Amrin berkata kumpulan akan terus membuat pelaburan strategik dalam isi kandungan yang akan membolehkan semua platform medianya mengekalkan kedudukan utama dalam industri di samping membuka aliran pendapatan baharu melalui edaran serta jualan isi kandungan.

"Media Prima juga menyasar untuk memanfaatkan kedudukan dalam talian yang kukuh melalui cara pengiklanan serta perdagangan elektronik (e-dagang)," katanya.

Berita Harian X