Jumaat, 15 Mei 2015 | 5:49pm

Sports Affairs lantik Rashid Sidek, Rosman jadi ketua jurulatih


AHMAD Shapawi (dua dari kanan), Raezal (kanan), Pengarah Urusan Protech Absolute M Sdn Bhd Ronnie Tan (tengah), Rashid (dua dari kiri) dan Rosman Razak (kiri) pada Majlis Pelancaran Rasmi Sports Affairs Academy.- Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kelab badminton, Akademi Sports Affairs, hari ini mengumumkan pelantikan Rashid Sidek sebagai ketua jurulatih perseorangan dan Rosman Razak sebagai ketua jurulatih beregu.

Presiden kelab itu, Raezal Hussin berkata Rashid akan dibantu Nova Armada dari Indonesia sebagai penolong jurulatih perseorangan.

Kontrak kesemua jurulatih tersebut bermula 1 Mei bagi tempoh tiga tahun, katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Terdahulu Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Shapawi Ismail merasmikan pelancaran kelab itu.

Beliau berkata kelab komited dalam melahirkan pemain badminton negara berbakat termasuk layak ke Sukan Olimpik.

Raezal berkata akademi kini mempunyai 10 pemain elit yang dilihat mempunyai peluang beraksi kompetitif pada kejohanan antarabangsa.

Katanya antara pemain itu ialah Mohd Arif Ab Latif, Tan Chun Seang, Nur Mohd Azriyn Ayub bagi perseorangan lelaki, Sannatasah Saniru bagi perseorangan wanita manakala beregu lelaki pula Mohd Lutfi Zaim Abdul Khalid-Mohd Razif Ab Latif dan Lim Khim Wah-Hoon Thien How.

Dia menambah, kelab turut mempunyai atlet dari Indonesia iaitu Fikri Ihsandi Hadmadi bagi perseorangan lelaki dan Rusyidina Antardayu Riodingin. - BERNAMA

Berita Harian X