X
Sabtu, 16 Mei 2015 | 9:56am
ASKAR Nepal berjaya mengesan lokasi bangkai pesawat malang tersebut di kawasan hutan terpencil kira-kira 70 kilometer timur laut Kathmandu. - Foto AFP[FOTO PRAKASH MATHEMA /BH]
ASKAR Nepal berjaya mengesan lokasi bangkai pesawat malang tersebut di kawasan hutan terpencil kira-kira 70 kilometer timur laut Kathmandu. - Foto AFP[FOTO PRAKASH MATHEMA /BH]

8 maut helikopter terhempas di Nepal

KATHMANDU: Enam tentera marin Amerika Syarikat (AS) dan dua askar Nepal terkorban apabila helikopter mereka terhempas di kawasan pergunungan yang dilanda gempa bumi, kata Setiausaha Pertahanan AS, Ashton Carter.

Helikopter jenis UH-1Y Huey itu digunakan untuk menghantar bantuan apabila dilaporkan hilang Selasa lalu.

Bangkai pesawat ditemui semalam selepas misi mencari dilaksanakan menggunakan helikopter dan beratus-ratus askar AS dan Nepal.

"Hari ini kita bersedih atas kematian tentera marin AS yang terkorban apabila helikopter mereka terhempas di kawasan pergunungan Nepal awal minggu ini ketika menghantar bantuan kepada mangsa gempa," kata Carter dalam kenyataan.

"Kita juga turut berduka di atas kematian askar Nepal yang turut berada dalam helikopter itu pada masa kejadian."

Beliau berkata: "Misi kita akan diteruskan di Nepal, dan kita tetap menyahut permintaan sekiranya bencana melanda lagi sama ada di Asia Pasifik mahupun di seluruh dunia."

Sementara itu, komander pasukan bertindak bersama menyiasat kehilangan pesawat berkenaan mengesahkan bangkai helikpopter sudah ditemui dan menyifatkan kejadian sebagai "nahas teruk".

Pesawat berkenaan terdahulu dikesan di kawasan hutan terpencil kira-kira 70 kilometer timur laut Kathmandu. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X