Sabtu, 16 Mei 2015 | 9:01pm

Siri jelajah KKMM kesan kawasan lemah isyarat jalur lebar


AHMAD Shabery (dua dari kiri) merasmikan Pusat Internet 1Malaysia di Kampung Mat Daling, Ulu Tembeling, hari ini.- Foto BERNAMA

JERANTUT: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan mengadakan siri jelajah ke seluruh negara bagi mengenal pasti kawasan yang kadar penembusan jalur lebar masih lemah, kata Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, ini bagi memastikan penduduk di kawasan berkenaan mendapat akses internet dan talian telefon mudah alih yang lebih cekap.

Katanya, terdapat kawasan pedalaman dan kampung-kampung yang isyarat jalur lebar masih lemah dan ini menyukarkan mereka untuk menggunakan kemudahan telefon mudah alih dan akses internet seperti penduduk di bandar.

"Ini juga satu usaha kita pergi ke kampung-kampung supaya perkara yang terlepas pandang dapat diatasi," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja "Connecting the Unconnected" dan merasmikan Mini Pusat Internet 1Malaysia di Kampung Mat Daling di Ulu Tembeling di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Datuk Seri Dr Halim Shafie.

Pada majlis itu, Ahmad Shabery turut merasmikan program Jejak Pahlawan 3 membabitkan 30 pacuan empat roda daripada Chukai Adventure Team dari Kemaman, Terengganu.

Beliau berkata, buat permulaan KKMM akan membina sebuah menara telekomunikasi di kawasan Kampung Mat Daling menjelang hujung tahun ini bagi mempertingkat kadar penembusan jalur lebar di kawasan sekitar.

Katanya, ketika ini isyarat talian telefon mudah alih di kawasan perkampungan itu sangat lemah dan sukar mendapat talian internet.

"Yang penting sekarang penduduk nak lihat apabila menggunakan telefon (mudah alih) ada signal yang kuat bukan sekadar signal 2G tapi juga 3G sebab sekarang orang bukan sahaja guna telefon untuk bercakap tapi mereka juga mahu hantar gambar dan menggunakan aplikasi lain dalam telefon mudah alih," katanya.

Beliau berkata, apabila menara siap dibina, kabel talian jalur lebar berkenaan akan menumpang kabel elektrik untuk disalurkan ke kawasan perkampungan berkenaan.

"Buat masa ini belum ada syarikat telco (telekomunikasi) yang berminat untuk membina menara di sini ekoran pulangan yang lambat, namun kerajaan akan sediakan prasarana dan mungkin mereka akan menumpang kemudahan itu kelak," katanya.

Semasa berucap, Ahmad Shabery berkata pembukaan Pusat Internet 1Malaysia di kampung itu adalah satu penyelesaian jangka pendek bagi penduduk kampung mendapatkan akses internet sebelum menara telekomunikasi itu siap dibina.

"Kita tidak mahu ada rakyat yang tidak mendapat kemudahan perhubungan komunikasi seperti talian telefon mudah alih. Ia antara agenda utama yang akan diselesaikan oleh kerajaan sebab itu kita kena selesaikan masalah ini," katanya.

Pada majlis itu Ahmad Shabery turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan rumah seperti peti sejuk, dapur dan televisyen serta komputer peribadi dan komputer netbook kepada penduduk enam kampung iaitu Kampung Mat Daling, Kampung Sat, Kampung Pagi, Kampung Bantal, Kampung Gusai dan Kampung Guchil.

- BERNAMA

Berita Harian X