Ahad, 17 Mei 2015 | 12:27pm

CIMB, MDeC bekerjasama menerusi pelancaran program 'InnoChallenge'

KUALA LUMPUR: CIMB Bank Bhd dan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), menjalin kerjasama dengan pemaju aplikasi bagi menyokong agenda inovasi menerusi pelancaran program 'InnoChallenge.'

Menerusi kerjasama itu, CIMB Bank dan MDeC akan bertindak sebagai mentor dan membantu pemaju aplikasi menyertai cabaran itu selain menguji serta melaksanakan penyelesaian mereka, kata bank itu dalam satu kenyataan, hari ini.

'InnoChallenge' akan bertumpukan kepada aspek penjanaan buah fikiran serta merealisasikan idea serta konsep inovasi baharu dalam kalangan pemaju aplikasi di serata negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna Serantau CIMB Group, Renzo Viegas berkata bank itu sememangnya teruja untuk bekerjasama dengan MDeC serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi mewujudkan penyelesaian praktikal untuk mereka.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDeC, Datuk Yasmin Mahmood menyifatkan 'InnoChallenge' itu saling melengkapi program ICON MdeC bagi memupuk bakat dan syarikat tempatan untuk memenuhi permintaan terhadap keperluan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta penyelesaian digital.

"InnoChallenge membawa perubahan terhadap landskap perbankan dan kami mengalu-alukan usaha CIMB melaksanakan inovasi digital itu yang melangkaui sempadan Malaysia.

"Transformasi penggunaan penyelesaian digital ini akan menggalakkan lagi ekosistem bagi menjadikan Malaysia sebagai ekonomi digital serba maju yang menghubungkan serta memperkasa kerajaan, perniagaan dan rakyat," katanya. - BERNAMA

12 dibaca
Berita Harian X