Selasa, 19 Mei 2015 | 5:12pm

Pharmaniaga antara kaunter paling untung, saham naik 1.88 peratus

PHARMANIAGA ANTARA KAUNTER PALING UNTUNG, SAHAM NAIK 1.88 PERATUS

KUALA LUMPUR: Pharmaniaga Bhd muncul antara kaunter paling untung setakat dagangan jam 3.50 petang ini berikutan pengumuman prestasi suku pertamanya bagi tahun ini.

Pharmaniaga adalah syarikat farmaseutikal terbesar Malaysia.

Sahamnya menokok 13 sen atau 1.88 peratus kepada RM7.04 selepas berlegar antara RM6.91 dan RM7.05 dengan sejumlah 809,300 saham berpindah tangan.

Dalam laporan semalam, keuntungan sebelum cukai syarikat itu meningkat 33 peratus bagi tempoh suku pertama berakhir 31 Mac 2015 daripada 26 peratus bagi tempoh sama, tahun lalu.

"Sumbangan utamanya adalah hasil margin keuntungan lebih tinggi menerusi segmen perusahaan berikutan peningkatan kecekapan operasi yang secara langsung turut mengurangkan kos yang terlibat," katanya.

Selain itu, pendapatannya meningkat kepada RM471.9 juta daripada RM468.67 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ini disumbangkan hasil jualan sektor swasta yang lebih tinggi, terutamanya operasi kumpulan itu di Indonesia.

HLIB Research menerusi nota penyelidikannya menyifatkan prestasi kewangan Pharmaniaga itu sejajar jangkaan.

Ia turut mengunjurkan kumpulan itu akan terus mendapat manfaat dari pasaran Indonesia selain hospital yang dijangka terus memberi sumbangan positif terhadap pendapatan syarikat bagi jangka panjang.

Firma penyelidikan itu turut mengulangi saranan penarafan 'pegang' dengan sasaran harga RM6.58.

Sementara itu, Kenanga Research, yang turut menyifatkan keputusan suku pertama 2015 Pharmaniaga itu dijangkakan, mengekalkan saranan penarafan 'prestasi mengikut pasaran' dengan sasaran harga RM6.95. - BERNAMA

Berita Harian X