Rabu, 20 Mei 2015 | 3:12pm

Firma penyelidikan positif prestasi suku pertama 2015 Axiata

KUALA LUMPUR: Firma penyelidikan kebanyakannya positif ke atas prestasi suku pertama 2015 Axiata Group Bhd.

Semalam Axiata mengumumkan keuntungan sebelum cukai suku pertamanya yang lebih rendah, sebanyak RM689.96 juta berbanding RM1.01 bilion pada suku yang sama tahun lepas.

Axiata bagaimanapun mencatatkan hasil yang lebih tinggi sebanyak RM4.75 bilion berbanding RM4.52 bilion sebelumnya.

Dalam notanya hari ini, Maybank IB Research berkata keputusan suku pertama syarikat telekomunikasi itu adalah selari dengan jangkaan, meskipun syarikat itu sebelum ini mengunjurkan suku yang lebih lemah.

Firma penyelidikan itu berkata panduan suku kedua 2015 dijangkakan kekal suram berdasarkan cabaran operasi yang sedang dialami Celcom yang berhadapan isu teknologi maklumat.

Anak syarikat Indonesianya, XL, sedang melalui suku peralihan susulan perubahan strategi.

"Penarafan semula dijangka berlaku pada separuh kedua 2015," katanya dan menambah bahawa agensi penarafan itu mengekalkan saranan 'beli' ke atas sekuriti itu dengan harga sasaran RM7.60.

Sementara itu, AllianceDBS Research berkata margin pendapatan Axiata sebelum cukai, faedah, pelunasan dan susut nilai (EBITDA) merosot 40 peratus pada suku itu, ekoran kos rangkaian yang lebih tinggi dan kedudukan jualan peranti yang juga meningkat.

"Tahun kewangan 2015 juga nampak suram bagi Axiata, berikutan perubahan dalam strategi perniagaan XL akan menyebabkan tekanan jangka pendek ke atas hasil," katanya dan menambah terdapat potensi pemangkin yang meliputi pemulihan dalam prestasi Celcom.

Firma penyelidikan itu membuat saranan 'simpan' ke atas Axiata pada harga sasaran RM6.60.

Sementara itu, Affin Hwang Capital Research, menyokong Maybank IB Research, dengan menyatakan bahawa keputusan suku pertama 2015 Axiata memenuhi unjuran dan yakin margin EBITDA akan pulih.

Firma penyelidikan itu menaikkan sarananya daripada 'jual' kepada 'simpan' dengan harga sasaran RM6.39, susulan harga saham itu yang lemah, katanya.

Pada 10.47 pagi, saham Axiata susut satu sen atau 0.15 peratus kepada RM6.74 dengan 2.68 juta saham bertukar tangan. - BERNAMA

Berita Harian X